top of page

Undang-Undang Pilihanraya Untuk Semua

Seusai pilihanraya umum ke-15 (PRU15) yang lalu, terdapat beberapa petisyen pilihanraya dikemukakan untuk membatalkan keputusan pilihanraya atas alasan bahawa terdapat sogokan dan juga penjamuan yang dilakukan untuk tujuan meraih undi. Dalam kes petisyen pilihanraya Masjid Tanah, antara isu utama yang ditimbulkan oleh pempetisyen adalah program jamuan bagi meraikan jentera pilihanraya Perikatan Nasional Masjid Tanah yang dibuat selepas PRU15 yang dituduh sebagai satu bentuk sogokan untuk mempengaruhi pengundi berdaftar untuk mengundi Perikatan Nasional.


Persoalan yang timbul adalah bagaimana pula jamuan yang dilakukan seminggu selepas keputusan PRU15 diumumkan tersebut boleh mempengaruhi pengundi berdaftar yang telah membuang undi pada tarikh pengundian sebelum itu? Persoalan seterusnya adalah apakah seorang wakil rakyat yang telah dipilih secara sah melalui pilihanraya tidak boleh melahirkan rasa terima kasih beliau kepada jentera pilihanraya beliau yang telah bertungkus lumus bekerja bagi memastikan kempen dilaksanakan dengan teratur dan berkesan?

 

Persoalan-persoalan ini telah dijawab oleh Mahkamah Pilihanraya apabila Mahkamah Pilihanraya menolak kes petisyen Masjid Tanah dan mengekalkan kemenangan Yang Berhormat Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati. Dalam membuat keputusan tersebut, Mahkamah mengambil kira kegagalan pempetisyen membuktikan jamuan tersebut boleh mempengaruhi pengundi berdaftar untuk mengundi YB Mas Ermieyati, dan jumlah majoriti besar yang dimenangi jauh mengatasi jumlah kehadiran semasa jamuan.



Ada beberapa elemen yang perlu  diperhatikan disini iaitu jamuan yang dibuat untuk jentera seminggu selepas PRU15 tidak akan dapat mempengaruhi pengundi kerana pengundi telah membuat keputusan sebelumnya tanpa ada apa-apa janji yang diberikan. Keduanya, jumlah kehadiran jamuan adalah kecil berbanding dengan majoriti yang dimenangi oleh YB Mas Ermieyati. Keputusan tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, dan menjadi kes duluan yang mengikat.


Jika dibezakan dengan apa yang dilakukan oleh PH-BN di Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024 yang lalu, ia ibarat langit dengan bumi. Pertama, program Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor yang dibuat pada malam selepas penamaan calon di tengah-tengah pekan Kuala Kubu Bharu adalah penjamuan yang diadakan sebelum hari pengundian. Persoalan besar yang timbul adakah penjamuan sedemikian telah mempengaruhi pengundi berdaftar di kawasan tersebut untuk mengundi PH-BN pada 11 Mei nanti? BERSIH juga mempertikaikan program tersebut yang dikatakan melanggar Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya. Namun ia tetap diteruskan.


Keduanya, walaupun Menteri Besar Selangor menyatakan tiada kempen dan pemberian wang raya di majlis tersebut, ia bukan satu faktor untuk mewujudkan kesalahan di bawah Seksyen 8. Seksyen 8 hanya mensyaratkan penjamuan yang cuba mempengaruhi undi, dan mengikut kes-kes duluan, persoalan sama ada pengundi terpengaruh atau tidak adalah bergantung kepada niat pemberi yang perlu dibuktikan di Mahkamah.


Kita tunggu dan lihat apakah program yang secara terang-terang dilakukan sewaktu kempen pilihanraya di kawasan pilihanraya dan dipertikai ramai tersebut bakal menjadi isu kesalahan pilihanraya nanti, kerana undang-undang pilihanraya seharusnya terpakai untuk semua parti, dan bukan kepada pembangkang sahaja.

 

 

Comments


bottom of page