top of page

Ajaran Kultus: Sistem Kepercayaan Yang Membebalkan

Malaysia digemparkan lagi dengan kes ajaran sesat yang membingungkan. Pendedahan, serbuan dan tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas premis dan individu-individu penting disebalik syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) hanyalah satu puncak kecil daripada bongkahan ais besar yang tersembunyi. Masyarakat mula bertanya apakah ajaran Darul Arqam yang sepatutnya sudah lama mati, masih dan terus-terusan bertapak, bahkan mekar dicelah kemodenan masyarakat Madani?



Ketika membaca laporan tentang ajaran-ajaran individu dalam GISB, setiap orang tidak lapat lari dari memikirkan “kenapa begitu teruk sekali?”. Kenapa ada yang begitu taksub sehingga mendewakan pemimpin dengan mengambil “air berkat” dari helaian janggutnya yang belum tentu bersih itu? Kita pasti tidak memahaminya, kerana kita tidak berada di dalam “sistem kepercayaan” yang telah dibenih, disemai dan disuburkan sekian lama.


Yining Zhang (2023) dalam artikelnya “How Do They Control: An Insight into Cult Manipulation” menyatakan bahawa pemimpin kultus melakukan manipulasi terhadap pengikut dengan 2 kaedah iaitu kawalan fizikal, dan juga kawalan psikologi. Melalui kawalan fizikal, seorang pemimpin kultus menjadi seorang “penjual” yang berupaya menjual produk yang “boleh mengubah manusia”. Pemimpin kultus juga menggunakan “pressure and manipulation” untuk mengawal pengikut secara fizikal. Dari segi psikologi pula, Yining menyatakan bahawa pemimpin kultus mengambil kesempatan atas keinginan individu untuk lari daripada pemikiran arus perdana yang bersifat “judgmental” dan menyertai komuniti yang dirasakan sesuai bagi mereka.


Maka, “sistem kepercayaan” yang didasari kawalan fizikal dan psikologi ini menjadikan pengikut bodoh, bebal dan gagal menimbang secara rasional tentang apa yang disuapkan oleh pemimpin kultus mereka.


Di suatu sudut yang samar, ada pula suara halus yang mengambil kesempatan untuk menyamakan PAS dengan kultus GISB. Kononnya, para pengikut PAS juga bersikap taksub dengan wala’ terhadap pemimpin. Walhal, PAS adalah merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang tidak memusatkan kuasa kepada batang tubuh seorang individu. Komponen terpenting dan teratas dalam PAS adalah Majlis Syura selaras dengan sistem politik Islam anjuran As-Sunnah. Terdapat pelbagai mekanisme semak dan imbang yang berlaku. Muktamar Tahunan juga menjadi medan keberanian pengikut menegur pemimpinnya, tidak seperti fenomena “baik Datuk Seri” dalam parti-parti politik yang lain. Tidak ada kawalan fizikal mahupun kawalan psikologi ala kultus dalam PAS. Maka tuduhan dalam kesamaran tersebut hanyalah rekayasa jahat yang tidak mampu berdiri, bahkan mungkin menembak kaki sendiri.


Ajaran sesat dan kultus perlu dipangkas sehingga ke akar umbinya. Namun, sistem politik Islam yang mementingkan konsep wala’ kepada Allah dan Rasul, dan kemudiannya barulah pemimpin perlu dimaknai untuk kelangsungan perjuangan Islam di atas muka bumi, dan bukan dibenci dan disalaherti.  

Comments


bottom of page