KABSAH KAMBING, AIR LUMPUR DAN RUMPUT KERING
Tatkala saudara seagama di Palestin bergelut dengan lapar dan dahaga yang keterlaluan, masih ada dikalangan umat Islam yang bukan sahaja tidak ringan membantu penderitaan mereka, bahkan terus-terusan leka dengan nikmat makanan dan minuman yang melimpah ruah. Pembaziran demi pembaziran berlaku tanpa sedar, walaupun nun disana masih ada kanak-kanak yang berebutan menghirup air lumpur buat menghilang dahaga dan rerumput kering buat mengisi perut yang sudah tidak mampu menahan lapar.
Defence for Children International Palestine melaporkan bahawa setakat Julai 2024, 34 orang kanak-kanak Palestin telah meninggal dunia disebabkan kebuluran, termasuk anak syurga Anwar Al-Khudari, berumur 3 tahun yang meninggal dunia di Hospital Kamal Adwan kerana kekurangan zat. Lebih 3500 orang kanak-kanak pula berisiko mati kebuluran, dan 82,000 lagi kanak-kanak telah menunjukkan simptom kekurangan zat.
Tanpa sepicing rasa malu dan kasihan, kita masih melihat umat Islam di segenap pelosok dunia membazirkan makanan dan minuman secara keterlaluan. Laporan yang dikeluarkan oleh Triton Market Research menunjukkan bahawa makanan terbuang di Arab Saudi mencecah 38% daripada jumlah makanan harian yang dimakan, sementara Emiriyah Arab Bersatu membazirkan hampir 3.2 juta tan makanan setahun, dan jumlahnya terus meningkat. Malaysia tidak kurang hebatnya. Solid Waste Management and Public Cleansing Corporation (SWCorp), melaporkan bahawa rakyat Malaysia menghasilkan 17,000 tan makanan terbuang setiap hari, yang mana 24% daripadanya masih boleh dimakan.

Apakah tidak jelas larangan Al-Quran tentang pembaziran makanan? Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 31 “…makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. Begitu juga Surah Al-An’am ayat 141 “…jangan membazir, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membazir”.
Tidak cukup dengan itu, Islam sentiasa menyarankan perkongsian dan pemberian makanan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Diriwatkan daripada Abdullah bin Salam ra, ketika Nabi saw tiba di Madinah, Baginda bersabda: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”
(Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibnu Majah (3251) dan Ahmad (5/451)).
Maka sekiranya suruhan Allah dan Rasulullah saw difahami dengan mendalam, maka seharusnya seorang Muslim tidak akan terlibat sama sekali dalam pembaziran, bahkan sentiasa berkongsi rezeki dengan saudara seIslam yang amat-amat memerlukan.
29 September telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Hari Kesedaran Tentang Keterbuangan Makanan dan Pengurangan Sisa Antarabangsa. Ia adalah untuk menggalakkan kesedaran global tentang pembaziran makanan yang semakin tidak terkawal. Ia perlu disambut khususnya oleh masyarakat Islam dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membasmi pembaziran, dan ia seharusnya bermula di rumah kita dan juga dalam pergerakan Jemaah Islam. Sudah tiba masanya pejuang Islam makan sekadar perlu, dan bukannya senantiasa melazimi kelazatan makanan seperti nasi Arab dan kabsah kambing setiap kali berprogram, sehingga berlaku pembaziran.




Comments