top of page

Islam Adalah Penyelesaian: Analisis 4 Peringkat


Pada Muktamar ke-70 Parti Islam Semalaysia, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Presiden telah memberikan amanat beliau dengan tema “Islam adalah penyelesaian” Untaian pedoman, nasihat dan petunjuk tersebut seharusnya difahami dan dihadam oleh setiap pendukung perjuangan Islam agar gerak kerja yang bakal dilakukan lebih tersusun dan terarah kepada satu matlamat yang jelas, dan bukan omongan kosong semata-mata.

 

Seharusnya Islam dijadikan sebagai  pakej solusi terbaik untuk umat manusia, khususnya rakyat di negara yang tercinta ini. Namun, persoalan yang lebih utama ialah bagaimanakah caranya untuk menunjukkan Islam mempunyai solusi kepada setiap permasalahan yang berlaku, dan apakah bezanya solusi Islam dengan solusi yang diberikan oleh kelompok pemikiran yang lain seperti liberalisme, sosialisme, kapitalisme mahupun opportunisme?

 

Sekiranya penyelesaian yang ditawarkan oleh Islam tersebut tidak nampak  bezanya dengan penyelesaian yang diberikan oleh kelompok pemikiran yang lain, maka sudah tentu masyarakat tidak akan merasai bahawa Islam itu punya penyelesaian yang tuntas, ataupun punya penyelesaian langsung.

 

Penulis ingin menggariskan beberapa kaedah untuk memaknai tema “Islam adalah penyelesaian” dalam setiap konteks permasalahan. Kaedah ini meliputi analisis 4 peringkat untuk menghasilkan satu solusi Islam yang terbaik bagi permasalahan masyarakat. Peringkat pertama adalah sudah tentu mengenalpasti masalah semasa yang timbul. Masalah-masalah seperti ketidakseimbangan ekonomi, jurang kekayaan, masalah keterjaminan makanan,  dan juga  masalah-masalah kebejatan akhlak dan pemikiran perlu dikenalpasti secara teliti.

 

Peringkat kedua adalah melihat secara terus kepada kaedah Islam dalam menyelesaikan perkara tersebut. Sejarah perlu disingkap untuk melihat apakah masalah serupa telah berlaku, dan bagaimanakah pemerintahan Islam, sama ada di zaman Baginda Rasulullah saw, para sahabat ataupun khilafah Islamiyah terkemudian menyelesaikannya? Sekiranya tiada contoh tepat dalam lipatan sirah, maka perlulah diteliti apakah nas Al-Quran dan As-Sunnah yang menggariskan prinsip-prinsip umum bagi penyelesaian sesuatu masalah tersebut.

 

Peringkat ketiga pula membabitkan pencanaian minda untuk mencari solusi kreatif, inovatif dan moden berdasarkan kepada prinsip-prinsip umum nas tadi, supaya solusi tersebut dijelmakan bukan hanya berdasarkan nafsu dan kehendak akal semata-mata, bahkan dipandu kehendak wahyu.

 

Dan peringkat keempat pula adalah untuk menunjukkan bahawa solusi kreatif yang dibawa Islam tersebut adalah berbeza daripada solusi kelompok pemikiran lain, yang lebih fokus kepada mencapai matlamat dan objektif penyelesaian masalah yang berlaku dalam masyarakat tanpa sekali-kali mengenepikan keredhaan Allah. Sekiranya sesuatu dasar yang ingin dibangunkan oleh pejuang Islam dibuat berdasarkan 4 peringkat analisis ini, maka sudah tentu solusi yang ditawarkan jelas menampakkan bahawa Islam adalah penyelesaian.

 

Sebagai pedomannya, janganlah kita asyik melaungkan Islam adalah penyelesaian sedangkan pada hakikatnya corak pemikiran kita untuk menyelesaikan sesuatu isu masih tidak menampakkan keyakinan kita kepada Islam. Bahkan adakalanya kita lebih cenderung menyatakan bahawa sains adalah penyelesaian, teknologi adalah penyelesaian, pemikiran moden adalah penyelesaian, dan bukannya Islam adalah penyelesaian.

 

 

Comments


bottom of page