top of page

Umat Islam Duta Kebersihan

Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis Riwayat al-Tirmizi (2799) bahawa: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi”.

 

Dalam mencorakkan pentadbiran sesebuah negara atau negeri bermodelkan cara hidup Islam, aspek kebersihan perlu dititikberatkan. Ia juga merupakan aspek dakwah yang penting kerana dalam era masyarakat masih tercari-cari apakah model negara Islam yang baik, aspek kosmetik dan luaran seperti kebersihan persekitaran juga perlu dipakejkan dengan baik, supaya timbul minat untuk melihat Islam dengan lebih mendalam.

 

Bayangkan kalau seorang yang mahu mendekati Islam melihat kotornya tandas-tandas di masjid, dan juga bergelimpangannya sampah sarap di sekitar “bandaraya Islam”, maka sudah pasti tercetusnya “first impression” bahawa Islam tidak mementingkan pengurusan kebersihan, apatah lagi perkara lain yang lebih besar seperti kemodenan dan teknologi.

 

Mewujudkan persekitaran yang bersih memerlukan usaha semua pihak. Bukan sahaja aspek penyelenggaraan kebersihan oleh pihak berkuasa seperti sistem kutipan sampah, pelupusan sisa dan keindahan bandaraya perlu diutamakan, sikap anggota masyarakat juga perlu dipupuk untuk mengutamakan kebersihan.

 

Bagi memupuk kesedaran dan sikap masyarakat Islam, pendekatan lobak dan ranting (carrot and stick) boleh digunakan. Ia bermaksud memberikan ganjaran (reward) kepada mereka yang mengutamakan kebersihan, dan dalam masa yang sama menghukum mereka yang mengabaikan aspek kebersihan.

 

Sebagai contoh, sebuah bandaraya Islam boleh melakukan kempen membersihkan kawasan sekitar seperti pantai (yang biasanya tercemar dengan longgokan sampah), dan memberikan ganjaran wang untuk setiap kilogram sampah yang berjaya dikutip. Dalam masa yang sama, hukuman terhadap gejala pembuangan sampah merata-rata perlu di hukum dengan denda yang lebih tinggi. Metropolitan Tokyo misalnya mengenakan denda maksimum 30,000 yen (bersamaan hampir RM1000) dan Singapura mengenakan denda 300 dollar (bersamaan hampir RM1000) untuk memastikan sikap masyarakat dibentuk. Denda yang tinggi tersebut juga diiringi dengan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten.

 

Pada Disember 2023, Kerajaan Kelantan telah melancarkan kempen Kelantanku Bersih dengan peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM12.8 juta. Ketika sambutan Hari Kelantanku Bersih 2023, Menteri Besar Kelantan telah menyatakan bahawa pendekatan yang diambil adalah dengan meningkatkan kesedaran dan kerjasama rakyat, disamping memperkukuhkan undang-undang dan penguatkuasaan berkenaan kebersihan. Ia satu usaha yang amat baik dan terpuji.

 


Dengan kempen Kelantanku Bersih yang dijalankan itu, diharapkan agar Kota Bharu, yang menerima jolokan Bandaraya Islam, dan Serambi Mekah akan muncul sebagai bandaraya paling bersih di Malaysia, dan menjadi model kepada cara hidup Islam yang sempurna. Sekiranya ia berjaya dilakukan, maka umat Islam nanti akan menjadi duta kebersihan yang akan menarik orang bukan Islam untuk terus mendekati Islam dan memahami keindahan Islam sebagai satu Ad-Deen yang syumul kepada umat manusia.  

Comments


bottom of page