Politik Identiti atau Identiti Nasional?

Barangkali istilah yang paling disalahfahami dalam politik Malaysia hari ini ialah "politik identiti." Apa sahaja yang berkaitan Islam, Melayu atau institusi Raja-Raja Melayu segera dilabel sebagai politik identiti. Namun apabila identiti bahasa, budaya atau pendidikan komuniti lain diperjuangkan, ia pula dianggap hak asasi. Mengapa wujud dua ukuran yang berbeza?
Setiap kali keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka, alasan yang sering diulang ialah kononnya rakyat termakan "politik identiti". Seolah-olah pengundi memilih berdasarkan sentimen kaum dan agama, bukannya prestasi atau dasar. Naratif ini semakin kerap dijadikan penjelasan mudah bagi setiap kekalahan.
Kesilapan terbesar dalam wacana politik hari ini ialah menyamakan politik identiti dengan identiti nasional. Kedua-duanya bukan perkara yang sama.
Francis Fukuyama dalam bukunya Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment menjelaskan bahawa politik moden semakin dipengaruhi oleh tuntutan identiti. Malah beliau mengingatkan bahawa "modern liberal democracies need a shared national identity." Demokrasi yang stabil memerlukan satu identiti nasional yang dikongsi bersama. Tanpa identiti bersama, masyarakat akan mudah terjerumus ke dalam polarisasi dan perpecahan.
Islam lebih awal mengiktiraf hakikat tersebut. Allah SWT berfirman bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Yang ditolak oleh Islam bukan identiti, tetapi asabiyyah — mempertahankan kelompok sendiri walaupun salah atau menzalimi pihak lain atas nama kaum, agama atau bangsa.
Dalam konteks Malaysia, persoalannya bukan sama ada politik identiti wujud atau tidak. Persoalannya ialah identiti apakah yang sedang diperjuangkan?
PAS dan PN sering dituduh membawa politik identiti kerana mempertahankan Islam, Bahasa Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan orang Melayu serta Bumiputera. Hakikatnya, semua perkara tersebut bukanlah ciptaan PAS atau PN. Ia merupakan asas pembentukan negara yang dipersetujui sejak merdeka dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Mempertahankannya bukan bermaksud mempertahankan satu kaum semata-mata, tetapi mempertahankan identiti nasional Malaysia.
Sebab itulah tuduhan bahawa PN mengamalkan politik perkauman tidak selari dengan realiti. Perikatan Nasional sendiri dianggotai parti pelbagai kaum seperti GERAKAN dan MIPP. Kerjasama melalui gagasan Penyatuan Ummah pula bukan sahaja melibatkan PAS dan UMNO, bahkan membuka ruang kepada parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC. Jika perjuangan ini benar-benar bersifat asabiyyah Melayu, mengapa parti-parti bukan Melayu masih mempunyai tempat dalam kerangka kerjasama tersebut?
Lebih penting daripada komposisi gabungan ialah dasar yang dilaksanakan.
Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS baru-baru ini meluluskan pengurangan 90 peratus tunggakan cukai tanah kepada SM Keat Hwa di Alor Setar dan SM Sin Min di Sungai Petani. Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut meneruskan bantuan tahunan kepada SJKC dan SJKT. Jika PAS benar-benar mengamalkan asabiyyah sebagaimana didakwa, mengapakah dasar-dasar seperti ini terus dilaksanakan? Hakikatnya, mempertahankan identiti nasional tidak pernah menghalang sebuah kerajaan daripada berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
Ironinya, mereka yang paling lantang mengecam "politik identiti" juga memperjuangkan politik identiti mereka sendiri. Perjuangan mempertahankan UEC bukan sekadar isu pendidikan. Matlamat rasminya ialah memelihara dan menyebarluaskan bahasa serta kebudayaan Cina (to preserve and disseminate Chinese language and culture).
Kurikulumnya juga sering menjadi perbahasan kerana memberikan penekanan yang besar terhadap sejarah dan tamadun China sebagai sebahagian daripada pembinaan identiti masyarakat Cina. Jika memperjuangkan identiti bahasa, budaya dan sejarah sesuatu komuniti melalui sistem pendidikan bukan dianggap politik identiti, maka atas asas apakah pula mempertahankan Islam, Bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu terus dilabel sebagai politik identiti?
Dalam sebuah negara majmuk, kepelbagaian budaya perlu dihormati. Namun pembinaan negara tidak akan berjaya tanpa proses integrasi dan asimilasi nasional. Setiap komuniti berhak memelihara warisan budayanya, tetapi pada masa yang sama perlu berkongsi satu identiti kebangsaan yang menjadi asas kesetiaan kepada negara. Tanpa identiti nasional, negara hanya akan menjadi himpunan kelompok etnik yang hidup bersama, tetapi tidak benar-benar bersatu sebagai satu bangsa.
Di sinilah Penyatuan Ummah perlu difahami dalam konteks yang sebenar. Ia bukan projek menafikan kepelbagaian kaum, jauh sekali menafikan hak masyarakat bukan Islam. Sebaliknya, ia merupakan usaha memperkukuhkan kesepakatan politik dalam mempertahankan asas-asas kenegaraan Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Selagi asas-asas tersebut dihormati, ruang kerjasama sentiasa terbuka kepada semua pihak tanpa mengira kaum atau agama.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menggunakan istilah "politik identiti" sebagai senjata untuk melabel lawan. Soalan yang lebih penting ialah: adakah kita sedang memperjuangkan identiti yang memecah-belahkan negara, atau identiti nasional yang menjadi asas penyatuan negara?
Malaysia tidak memerlukan politik tanpa identiti. Malaysia memerlukan identiti nasional yang cukup kukuh untuk menyatukan kepelbagaian rakyatnya. Islam mengajar kita mempertahankan identiti tanpa terjerumus ke dalam asabiyyah. Fukuyama pula mengingatkan bahawa demokrasi memerlukan shared national identity. Barangkali di situlah letaknya jawapan kepada polemik politik hari ini. Ancaman sebenar kepada Malaysia bukanlah identiti nasional, tetapi kegagalan memeliharanya dengan adil, bijaksana dan berlandaskan Perlembagaan.




Comments