top of page

EKONOMI MADANI: ANGKA YANG TIDAK DIRASA

Aug 11
3 min read

Ada sesuatu yang menarik tentang ekonomi Malaysia hari ini. Kerajaan sentiasa memainkan banyak angka yang baik sebagai hujah bahawa rakyat Malaysia sedang menikmati kemajuan ekonomi yang baik di bawah Kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi hakikatnya di bawah, semakin banyak suara yang menceritakan kisah yang jauh berbeza.


Pada 1 April 2026, The Star melaporkan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa rakyat supaya bersedia menghadapi tempoh yang lebih sukar dan mengetatkan perbelanjaan kerana tekanan kos sara hidup.


Pada 6 Mei 2026, New Straits Times melaporkan PKS berdepan kenaikan kos dan permintaan yang lemah. SME Association of Malaysia pula menyifatkan keadaan itu sebagai cabaran terhadap kelangsungan perniagaan.


Pada 30 April 2026, The Star pula melaporkan lebih dua pertiga pengilang yang ditinjau mengalami kenaikan sekurang-kurangnya 10 peratus dalam kos pengeluaran dan operasi. Tekanan terhadap modal kerja dan aliran tunai turut meningkat.


Lebih membimbangkan, New Straits Times pada 14 Jun 2026 melaporkan 38,953 pekerja kehilangan pekerjaan dalam lima bulan pertama 2026 sahaja.


Jadi, kita mempunyai suara yang hampir sama daripada beberapa lapisan ekonomi: Pengguna berjimat. PKS tertekan. Pengilang mengira kos. Pekerja kehilangan pekerjaan.

Tetapi di atas kertas, ekonomi Malaysia memang berkembang. KDNK negara tumbuh 5.2 peratus pada 2025, pertumbuhan tahunan terpantas dalam tempoh tiga tahun.

Maka persoalannya: Jika ekonomi berkembang, mengapa rakyat masih terasa tertekan?


Jawapannya mungkin terdapat pada angka gaji.


Menurut Malaysia Economic Monitor terbitan World Bank (Mei 2026), gaji median sebenar pekerja meningkat sekitar 6 peratus pada 2025, mencerminkan pemulihan pasaran buruh selepas pandemik. Namun, laporan yang sama turut menunjukkan bahawa dalam tempoh 2010 hingga 2024, ekonomi Malaysia berkembang sekitar 82 peratus, sedangkan gaji median sebenar hanya meningkat sekitar 45 peratus dan gaji purata sebenar sekitar 43 peratus.


Ini menunjukkan satu masalah yang lebih besar daripada sekadar inflasi: Ekonomi berkembang lebih pantas daripada pendapatan pekerja.


Kita sering mendengar angka GDP, pelaburan dan eksport. Tetapi rakyat mempunyai angka mereka sendiri. Angka pada slip gaji. Angka di resit pasar raya. Angka sewa rumah. Angka ansuran. Dan angka yang tinggal dalam akaun bank sebelum gaji berikutnya masuk.


Sebab itu inflasi rendah tidak semestinya bermaksud kos hidup rendah. Harga yang sudah meningkat tidak kembali turun hanya kerana kadar kenaikan harga menjadi lebih perlahan.


Khazanah Research Institute (KRI) juga mengingatkan bahawa kesejahteraan isi rumah tidak boleh dinilai melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata. Pendapatan mesti dilihat bersama perbelanjaan, kos sara hidup dan ketahanan kewangan.

Di sinilah Ekonomi MADANI perlu diuji.


Kerajaan bercakap tentang “Menaikkan Lantai” — memastikan rakyat turut menikmati hasil pertumbuhan ekonomi. Maka ukuran akhirnya bukan sekadar berapa tinggi GDP naik tetapi berapa tinggi pendapatan rakyat naik?


Jika ekonomi berkembang 82 peratus, tetapi gaji median sebenar hanya 45 peratus, maka ada jurang yang perlu dijelaskan. Bukan bermaksud pertumbuhan ekonomi itu palsu. Tetapi pertumbuhan ekonomi tidak secara automatik bermaksud kemakmuran rakyat meningkat pada kadar yang sama.


Kerajaan boleh menunjukkan angka GDP. Rakyat melihat angka di pasar raya.

Kerajaan boleh menunjukkan angka pelaburan. Peniaga melihat angka kos operasi.

Kerajaan boleh menunjukkan inflasi terkawal. Keluarga melihat angka yang tinggal dalam akaun bank.


Akhirnya, rakyat tidak hidup dalam statistik. Rakyat hidup dalam realiti.


Maka persoalannya mudah: Di manakah angka yang rakyat boleh rasa?


Kerana Ekonomi MADANI akhirnya bukan dinilai berdasarkan angka yang kerajaan boleh tunjukkan.


Ia dinilai berdasarkan angka yang rakyat boleh rasakan. Dan dalam keadaan rakyat sudah semakin keliru dengan falsafah politik Madani yang berkompromi banyak perkara, dan ekonomi yang sarat formula dan janji-janji yang hanya tinggal harapan, mungkin sudah tiba masanya rakyat memilih selepas ini pasukan yang bukan hanya pandai beretorik sebelum pilihanraya, tetapi yang ikhlas, jujur dan benar-benar ”buat kerja” selepas pilihanraya.

Comments


bottom of page