KESEGERAAN ITU JUGA JANJI

Allah SWT berfirman: "Dan sempurnakanlah janji, sesungguhnya janji itu akan dipertanggungjawabkan." (Surah al-Isra': 17:34).
Ayat ini mengingatkan bahawa janji bukan sekadar lafaz yang diucapkan, tetapi amanah yang akan dipersoalkan. Menariknya, al-Quran tidak sekadar memerintahkan supaya janji ditunaikan, tetapi supaya ia disempurnakan.
Dalam kehidupan, setiap janji mempunyai dua dimensi. Pertama, apa yang dijanjikan. Kedua, bila ia dijanjikan akan dilaksanakan.
Jika seseorang berjanji menghantar ubat sebelum pembedahan tetapi hanya tiba selepas pembedahan selesai, ubat itu mungkin masih sama, tetapi tujuan janji itu telah luput. Barangnya sampai, tetapi janjinya tidak lagi membawa makna yang sama.
Begitu juga dalam politik. Apabila sesuatu janji dibuat bersama tempoh masa atau dengan naratif kesegeraan, maka masa menjadi sebahagian daripada janji itu sendiri.
Dalam undang-undang kontrak, terdapat doktrin time is of the essence. Doktrin ini mengiktiraf bahawa dalam keadaan tertentu, masa bukan sekadar syarat sampingan, bahkan menjadi unsur penting sesuatu perjanjian. Kelewatan itu sendiri boleh menjadi pelanggaran walaupun prestasi akhirnya diberikan.
Memang manifesto pilihan raya bukan kontrak yang boleh dikuatkuasakan di mahkamah. Namun dari sudut moral dan politik, prinsipnya tidak jauh berbeza. Rakyat bukan sahaja menilai sama ada sesuatu janji akhirnya dilaksanakan, tetapi juga sama ada ia dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan atau dalam tempoh yang munasabah.
John P. Kotter, profesor di Harvard Business School, menyatakan bahawa antara punca utama kegagalan sesuatu transformasi ialah kegagalan mewujudkan sense of urgency. Tanpa rasa mendesak, perubahan akan kehilangan momentum dan akhirnya gagal mencapai matlamatnya.
Francis Fukuyama pula berhujah bahawa kepercayaan ialah modal sosial yang paling penting bagi sesebuah masyarakat. Kepercayaan itu dibina apabila terdapat keselarasan antara apa yang dijanjikan dengan apa yang dilakukan. Apabila jurang antara janji dan pelaksanaannya semakin panjang, kepercayaan terhadap institusi juga mula terhakis.
Prinsip inilah yang menimbulkan persoalan terhadap beberapa janji penting kerajaan hari ini.
AUKU: Reformasi Yang Tertangguh
Dalam Tawaran HARAPAN bagi PRU15 pada tahun 2022, kerajaan berjanji untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Janji itu membina harapan bahawa reformasi pendidikan tinggi akan dilaksanakan dengan segera.
Namun selepas membentuk kerajaan, pendekatannya berubah. Pada tahun 2024, hanya beberapa pindaan dibuat. Pada Januari 2026 pula, kerajaan menyatakan tidak bercadang memansuhkan AUKU secara keseluruhan. Hanya pada Ogos 2026 kerajaan kembali kepada janji asal bahawa AUKU akan dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang baharu.
Persoalannya bukan sama ada AUKU akhirnya dimansuhkan. Persoalannya ialah mengapa janji yang dibuat pada tahun 2022 hanya kembali ke landasan asal hampir empat tahun kemudian?
Mahasiswa yang mengundi pada tahun 2022 sebahagiannya telah pun menamatkan pengajian. Mereka menjadi generasi yang dijanjikan reformasi, tetapi tidak sempat menikmati reformasi itu sepanjang berada di kampus.
RCI Tabung Haji: Ketelusan Yang Lewat
Perkara yang sama berlaku terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Laporan tersebut disiapkan dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2022. Namun rakyat hanya dapat membacanya selepas ia dinyahklasifikasi hampir empat tahun kemudian.
Sudah tentu ada yang berkata, "Yang penting akhirnya didedahkan." Tetapi itu bukan persoalan sebenar. Jika kerajaan menjadikan ketelusan sebagai identiti pentadbirannya, mengapa rakyat perlu menunggu hampir satu penggal Parlimen untuk membaca laporan tersebut?
Di United Kingdom, kelewatan penerbitan Chilcot Inquiry mengenai Perang Iraq turut menerima kritikan hebat kerana kelewatan itu sendiri dianggap menjejaskan nilai akauntabiliti awam. Dalam demokrasi, masa juga adalah sebahagian daripada pertanggungjawaban.
Menunaikan atau Menepati?
Di sinilah bezanya antara menunaikan janji dengan menepati janji. Menunaikan janji hanya melihat kepada hasil akhirnya. Menepati janji melihat kepada hasil dan masa.
Sesuatu janji mungkin akhirnya dilaksanakan. Namun jika ia terlalu lewat sehingga manfaatnya berkurang atau tujuan asalnya berubah, rakyat berhak mempersoalkan sama ada janji itu benar-benar telah ditepati. Apatah lagi apabila janji tersebut dibuat dengan naratif perubahan segera seperti “hari ini menang, esok turun harga minyak” dan sebagainya. Kesegeraan itu bukan sekadar retorik kempen, tetapi sebahagian daripada jangkaan yang dibina terhadap rakyat.
Ayat al-Quran pada permulaan tulisan ini mengingatkan bahawa setiap janji akan dipertanggungjawabkan. Pertanggungjawaban itu bukan sekadar memastikan sesuatu akhirnya dilakukan, tetapi memastikan ia disempurnakan sebagaimana yang dijanjikan.
Kerajaan yang gagal menepati janji, adalah kerajaan yang perlu ditolak. Apatah lagi kalau janji tersebut hanya cuba dilaksanakan apabila keadaan semakin mendatangkan bimbang, dan apabila sokongan semakin hilang.




Comments