top of page

ALAM TERKEMBANG JADIKAN GURU

Jul 21
2 min read

Penakik pisau si raut,

Ambil galah batang lintabung,

Selodang jadikan nyiru,

Air nang sititik jadikan lautan,

Tanah nang sekepal jadikan gunung,

Alam terkembang jadikan guru


Teromba (puisi adat) ini menggambarkan falsafah masyarakat Negeri Sembilan bahawa setiap elemen dan pengalaman alam persekitaran adalah guru. Daripadanya kita mengenal kekuatan, menginsafi kelemahan dan memperbaiki kesilapan.


Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan juga harus dilihat dalam kerangka itu. Ia bukan sekadar pertandingan merebut kuasa, tetapi peluang untuk rakyat menilai prestasi sebuah kerajaan. Apakah pengajaran sepanjang tempoh pentadbirannya? Apakah kelemahan yang perlu diperbetulkan? Dan adakah amanah itu masih wajar diteruskan?


Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil."

(Surah al-Nisa': 58)


Amanah pemerintahan bukan sekadar membina pembangunan fizikal seperti jalanraya dan projek mega. Amanah yang lebih besar ialah memelihara kestabilan negeri, menghormati institusi dan mengurus setiap krisis dengan adil serta berhikmah.

Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan bahawa antara tanggungjawab utama pemerintah ialah memelihara keamanan, mengurus urusan rakyat dan mengelakkan perpecahan yang menggugat kestabilan negara. Justeru, ukuran sebenar sesebuah kerajaan bukan ketika semuanya tenang, tetapi ketika negeri berhadapan ujian.


Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Negeri Sembilan melalui satu episod yang luar biasa apabila timbul krisis melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Bermula dengan pelucutan jawatan Undang Luak Sungai Ujong, diikuti pengisytiharan pelantikan Yang di-Pertuan Besar yang baharu oleh Undang Yang Empat menurut tafsiran mereka terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, kerajaan negeri pula mempertikaikan kesahan proses tersebut, manakala Kerajaan Persekutuan meneruskan urusan rasmi bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sedia ada.


Penulis tidak berniat menentukan siapa yang benar atau salah. Perkara itu sewajarnya diselesaikan melalui saluran undang-undang dan institusi adat yang berbidang kuasa.

Namun, persoalan politik yang wajar dinilai oleh rakyat ialah keupayaan kerajaan negeri mengurus krisis tersebut.


Dalam keadaan yang begitu sensitif, rakyat mengharapkan kerajaan menjadi pendamai, penyelaras dan penstabil keadaan. Sebaliknya, yang berlaku ialah ketidaktentuan yang akhirnya menyaksikan persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan sebelum Dewan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN. Sama ada terdapat justifikasi undang-undang atau tidak, persepsi yang terbentuk ialah kerajaan gagal memberikan keyakinan ketika negeri sedang diuji.


Hakikatnya, kerajaan tidak dinilai kerana krisis itu berlaku, kerana krisis boleh menimpa mana-mana pentadbiran. Sebaliknya, kerajaan dinilai berdasarkan cara ia mengurus krisis tersebut. Kerajaan yang matang meredakan keadaan dan mengembalikan keyakinan rakyat. Kerajaan yang lemah pula akhirnya dilihat menjadi sebahagian daripada krisis itu sendiri.


Ahli sosiologi Max Weber mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah pemerintahan bergantung bukan sahaja kepada kuasa yang dimiliki, tetapi juga kepada legitimasi yang diberikan oleh rakyat. Mandat boleh dimenangi melalui pilihan raya, tetapi legitimasi hanya dapat dikekalkan melalui kewibawaan dan kebijaksanaan mentadbir.


PRN Negeri Sembilan bukan referendum terhadap institusi Raja Berperlembagaan mahupun Adat Perpatih. Kedua-duanya wajib dihormati dan dipelihara. Sebaliknya, PRN ini ialah penilaian rakyat terhadap kemampuan sebuah kerajaan melaksanakan amanah pemerintahan ketika berdepan ujian.


Teromba orang tua-tua mengingatkan bahawa "alam terkembang jadikan guru." Krisis yang berlaku ialah pengajaran kepada semua. Daripadanya rakyat akan menilai, membuat pertimbangan dan akhirnya menentukan pilihan.


Kerana amanah memerintah bukan sekadar hak yang dimenangi melalui peti undi. Ia adalah kepercayaan yang mesti dipelihara. Apabila kepercayaan itu mula terhakis, rakyat berhak menentukan hala tuju yang baharu.


Itulah juga makna yang boleh dihayati di sebalik alam terkembang jadikan guru.

Comments


bottom of page