Perjuangan Ahmad Ibrahim Belum Berakhir
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Feb 13, 2024
- 2 min read
Perjuangan menegakkan kalimah Allah dan syariahnya berbeza mengikut zaman dan keadaan. Namun fitrahnya, perjuangan tersebut akan tetap berterusan dalam apa jua keadaan, sama ada dalam keadaan konflik/peperangan atau dalam keadaan aman. Ini kerana musuh Islam yang menjalar itu tidak pernah mengenal penat dan putus asa dan sentiasa mencabar.
Di Palestin, dalam keadaan konflik yang berlaku berabad lamanya, pejuang-pejuang agama bangkit mempertahankan tanahair dan watan mereka daripada dijajah dan dijarah. Perjuangan mereka adalah dengan mengangkat senjata.
Dalam keadaan lebih aman seperti di negara kita, perjuangan Islam berbeza sifatnya. Walaupun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, kita tidak boleh merasa selesa dan banyak sekali usaha yang perlu diperjuangkan untuk mempertahankan kesucian Islam dan syariahnya. Perjuangan ini adalah menggunakan ilmu dan hujah.
Antara aspek yang terpenting untuk diperjuangkan di Malaysia adalah perihal perundangan jenayah Islam, yang telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka. Undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Negeri Perak dan sebagainya telah dipraktikkan sebelum kedatangan Inggeris.
Umat Islam juga beriktikad bahawa undang-undang syariah Islam harus menjadi satu set peraturan yang diturunkan oleh Allah melalui RasulNya untuk memandu umat Islam dalam melayari bahtera dunia.
Atas iktikad inilah, maka umat Islam mahu undang-undang Syariah ditegakkan dan terus dikekalkan. Walaupun sistem Inggeris telah menguasai Malaysia sejak pengenalan sistem residen, dan Perlembagaan Persekutuan karangan Suruhanjaya Reid, umat Islam masih bertegas untuk mahukan undang-undang Syariah dan terus memperjuangkannya.
Ditengah-tengah kemelut perjuangan tersebut, wujud seorang sosok yang menjadi watak penting. Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim adalah seorang pejuang undang-undang Syariah yang tidak pernah mengenal erti putus asa, rehat atau bersara. Beliau yang sering diberi jolokan seperti “Bapa Perundangan Negara” dan “Lord Denning Shariah” adalah seorang pakar undang-undang yang luar biasa.

M.B. Hooker (1986) mengungkapkan “… the fact that one man can combine public office, teaching and administration, and original and pioneering research and publication, all to the very highest standard, is highly unusual.” Pujian sedemikian adalah kerana Profesor Ahmad Ibrahim bukan sahaja cemerlang sebagai peguam, bahkan pensyarah dan juga kakitangan awam dalam bidang perundangan.
Menyebut nama Profesor Ahmad Ibrahim pasti mengingatkan kita tentang kes Natrah, iaitu kemelut berdarah tentang keislaman dan keeesahan perkahwinan seorang gadis Belanda yang dipelihara dan dibesarkan oleh keluarga Islam. Profesor Ahmad Ibrahim adalah seorang peguam muda ketika itu, membela Natrah dan ibu angkatnya Che Aminah dari cengkaman undang-undang barat. Walaupun mereka kalah, dan Natrah kembali ke agama asal, namun ia merupakan titik tolak kepada perjuangan perundangan Islam di negara ini.
Pada tahun 1988, Profesor Ahmad Ibrahim telah berjaya menggerakkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Perkara 121(1A) untuk memberikan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah, yang sebelum ini sering dicampuri urusannya oleh Mahkamah Sivil.
Setelah hampir 36 tahun Perkara 121(1A) digubal, sistem perundangan Islam negara kini masih berkocak dengan cabaran demi cabaran terhadap undang-undang syariah atas pelbagai label dan nama. Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa usaha yang dirintis oleh Profesor Ahmad Ibrahim belum berakhir dan jauh dari selesai, dan kita tidak boleh berasa selesa dengan apa yang ada.



Comments