Penjajahan Syarikat Multi-Nasional
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Jun 24, 2024
- 2 min read
Pada tahun 1600, sebuah syarikat perdagangan iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) (SHTI) telah ditubuhkan di England. Ia diberikan piagam diraja oleh Ratu Elizabeth pada 31 Disember 1600. Syarikat tersebut asalnya bermula sebagai syarikat pemonopoli perdagangan, namun kemudiannya terlibat dalam politik dan menjadi agen penjajahan British khususnya di Hindia Timur (yang merangkumi Tanah Melayu).
Antara kejayaan-kejayaan penaklukan SHTI di Tanah Melayu adalah penaklukan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786. Francis Light yang sebelum itu adalah seorang pegawai tentera laut telah menyertai kapal SHTI dalam misi ke Madras dan Bombay. Kemudiannya beliau telah menjadi kapten kapal milik firma dagangan Jourdain, Sulivan & Desouza yang menjalankan perdagangan di Siam, Acheh dan Kedah, sebelum merampas Pulau Pinang.
Pada 1602 pula, Syarikat Hindia Timur Belanda (SHTB) atau Verenigde Oostindische Compagnie (VOC) ditubuhkan di Belanda dengan objektif yang hampir sama dengan SHTI. Pada 1619, VOC menjajah Betawi (Jakarta) & mendirikan ibu pejabat utamanya di situ sebelum memperluas & mengukuhkan kuasanya di kepulauan Indonesia. Untuk 50 tahun seterusnya, VOC berkembang menjadi syarikat terkaya di dunia.
Berdasarkan latar sejarah ini, jelas bahawa hegemoni kuasa barat dalam proses penaklukan negara-negara lebih kecil dahulunya telah dijayakan oleh syarikat-syarikat perdagangan besar yang berselindung di sebalik nama perdagangan dan pelaburan.
Di abad moden ini, strategi itu tetap diteruskan dengan wajah yang lebih sofistikated. Ana Camacho dan Guljannat Huseynli (2023) dalam artikel mereka “Preventing the Exploitation of Developing Nations from Neo-Colonialism” menggariskan beberapa kaedah yang digunakan oleh kuasa-kuasa maju untuk menjalankan neo-kolonialisme. Antaranya ialah teori kebergantungan yang mana negara membangun akan bergantung kepada negara maju untuk menghasilkan produk daripada bahan mentah mereka, pinjaman antarabangsa seperti IMF, syarikat multi-nasional, eksploitasi sumber, campur tangan politik dan juga pengambilan tanah.

Berkenaan dengan kaedah neo-kolonialisme melalui syarikat multi-nasional, Ana dan Guljanat menyatakan bahawa “Their presence in developing countries does more harm than good; it does little for the citizens that live there and causes “…humanitarian, environmental, and ecological damage to its population”. It’s argued that the multinational corporations use the developing countries for their materials and labor, but do not allow them to expand their economies”.
Kini, isu berkenaan pelaburan yang dilakukan oleh Black Rock, salah satu dana pelaburan multinasional terbesar di dunia menjadi isu yang hangat diperbincangkan di Malaysia. Yang dipertikaikan secara umumnya bukanlah tentang pelaburan yang dibuat oleh Black Rock di seluruh dunia termasuk Malaysia sebelum ini, namun rasional saham MAHB yang merupakan syarikat strategik negara berkaitan pengurusan lapangan terbang yang ingin dijual kepada syarikat yang dimiliki oleh Black Rock. Dan yang lebih membimbangkan ialah kenapakah pelaburan ini dibuat dikala umat Islam di Palestin menderita lantaran daripada pembantaian yang tidak berkesudahan oleh Israel, walhal Black Rock diketahui umum sebagai penyokong kuat rejim Israel. Adakah boikot yang dilakukan oleh umat Islam terhadap syarikat penyokong Israel tidak tertempias kepada pemimpin-pemimpin negara, yang kini hanya berlindung di sebalik alasan “demi kepentingan ekonomi negara”? Adakah kita tidak mahu belajar daripada sejarah penguasaan kuasa besar melalui syarikat-syarikat multinasional? Atau adakah kita secara sedarnya merelakan? Inilah persoalan yang perlu diperjelaskan oleh mereka yang berjalan di koridor kuasa bagi meredakan kegusaran umat Islam.



Comments