Pemimpin Al-Siddiq: Berjanji Sekadar Mampu
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Aug 12, 2024
- 2 min read
Selain Rasulullah s.a.w yang senantiasa dipandu wahyu, tiada seorang pemimpin pun di dunia ini yang sempurna, dan tidak melakukan sebarang kesalahan. Pasti ada masalah yang terlepas pandang, mahupun idea yang tidak kesampaian dalam mengemudi sistem pentadbiran, tidak dikira diperingkat mana sekalipun.
Pemimpin yang baik adalah yang jujur dengan orang bawahannya dan jelas halatujunya. Dia juga tidak berjanji melebihi kemampuannya hanya untuk menang sorak. Dan ketika dia melakukan kesalahan, dia memohon maaf dan berusaha sedaya upaya memperbaikinya. Inilah sifat Al-Siddiq yang menjadi ciri-ciri Rasul yang perlu diteladani oleh pemimpin Islam.
Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad (2023) dalam artikelnya “Integriti (Al-Siddiq) seorang pemimpin” menyatakan bahawa sifat Al-Siddiq itu termasuklah benar dalam percakapan. Beliau menyatakan:-
“Apa jua yang pemimpin al-Siddiq ini janjikan pada masa lalu akan beliau tunaikan apabila berkemampuan dan diberi kekuasaan. Beliau hendaklah memastikan hanya bercakap dan berjanji sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya berjanji bulan dan bintang yang tidak mampu digapai. Orang yang mengkhianati janjinya itu akan digelar orang munafik, pembohong, penipu dan pengkhianat”.
Maka sifat Al-Siddiq ini bukan sahaja menuntut integriti dalam melaksanakan tanggungjawab, bahkan perlu bercakap atau berjanji dengan sesuatu yang benar-benar mampu dilakukan.

Saban hari kita mendengar janji demi janji yang diperjuangkan dalam manifesto parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan hanya tinggal janji kosong semata-mata. Perjuangan untuk menjamin kebebasan dan hak termasuk kebebasan bersuara tidak dikotakan, sehingga aktivis terkemuka BERSIH, Dato’ Ambiga Sreenevasan menyifatkan kerajaan hari ini sebagai “Kerajaan paling diktator” sepanjang zaman kerana kawalan melampau terhadap media.
Kita juga telah banyak mendengar cakap-cakap yang mendabik dada seperti janji-janji kemasukan pelaburan yang berbillion-billion ringgit kononnya hasil keyakinan pelabur terhadap kepemimpinan negara ketika ini. Namun, akhirnya banyak yang hanya tinggal laungan. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pengumuman Tesla untuk membatalkan semua rancangan pelaburannya di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Walhal setahun sebelum itu, kita juga terlongo mendengar kerajaan kita begitu yakin kononnya telah berjaya meyakinkan Tesla bagi menyuntik pelaburan dengan memberikan inisiatif-inisiatif tertentu.
Hari ini, bukan sahaja pentadbiran yang sama cuba menafikannya, bahkan seolah-olah menyalahkan pula keputusan Tesla yang dibuat berdasarkan perkiraan ekonomi mereka.
Biarlah kita menjadi pemimpin yang punya Al-Siddiq walaupun tidak ternampak hebat dalam berkata-kata. Kejujuran terhadap keadaan ekonomi sebenar, dan kemasukan pelaburan yang sebenar, akan menyebabkan rakyat memahami dengan lebih jelas hala tuju negara, dan akan turut sama-sama berganding bahu mengatasinya. Namun kalau kita angkuh, maka sedikit demi sedikit Al-Siddiq itu akan terhakis, dan akhirnya rakyat akan terus hilang percaya.



Comments