top of page

“PASofobia” Adalah Satu Bentuk Islamofobia?

Dasawarsa muttakhir ini, Islam diberi imej buruk diseluruh dunia. Imej militan dan pengganas berserban sering dikaitkan dengan Islam, seolah-olah kempen peperangan dan rusuhan tanpa matlamat yang jelas adalah ajaran Islam. Walhal, Islam senantiasa menganjurkan keamanan, dan siri peperangan dalam Islam adalah sama ada untuk mempertahankan hak dan wilayah, atau membuka kota-kota baharu demi dakwah. Tentunya dalam peperangan sekalipun, Islam tetap menjaga hak dan kemanusiaan seperti larangan membunuh orang awam, dan merosakkan rumah-rumah ibadat.

 

Tun Mahathir dalam syarahannya di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom pada tahun 1996 menyatakan bahawa Islam adalah agama yang paling disalah anggap dan disalah erti di dunia. Beliau menyebut “The misunderstanding of Islam and Muslims is such that the West naturally assume that terrorism is a Muslim creed and is confined to Muslims. Evidence to the contrary are just ignored”.

 

Pada tahun 2022, Perhimpunan Agung PBB telah meluluskan satu resolusi untuk mengisytiharkan tarikh 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa bagi Memerangi Islamofobia. Ia adalah satu kejayaan besar kepada usaha-usaha yang dilakukan untuk menginstitusikan dan mendokumenkan Islamofobia. Namun, usaha tersebut masih jauh daripada matlamat akhirnya.

 

Definisi Islamofobia yang diterima pakai oleh PBB kini ialah “a fear, prejudice and hatred of Muslims that leads to provocation, hostility and intolerance … Motivated by institutional, ideological, political and religious hostility that transcends into structural and cultural racism, it targets the symbols and markers of being a Muslim”. Definisi tersebut menerima skop bahawa Islamofobia boleh tercetus daripada permusuhan institusi, ideologi, politik atau agama yang berubah menjadi perkauman yang berstruktur dan dibudayakan.

 


Perbezaan ideologi politik adalah lumrah demokrasi. Namun di Malaysia, permusuhan terhadap ideologi politik yang ingin memartabatkan Islam sebagai satu cara hidup sering disalah erti dan adakalanya dimusuhi. PAS merupakan sebuah parti politik yang telah lama berkecimpung dalam arena politik tanahair. Fasal 5 Perlembagaan PAS jelas menyebut tujuan PAS adalah untuk “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

 

Atas sebab matlamat melaksanakan nilai hidup Islam dan hukum-hukum itulah, PAS juga disalaherti dan dimusuhi. Istilah “penunggang agama” dihamburkan setiap kali pemimpin-pemimpin PAS memberi dalil nas Al-Quran dan As-Sunnah bagi menyelesaikan isu, seolah-olah segelintir masyarakat fobia dalil.

 

Begitu juga apabila bercakap tentang kemajuan, PAS sering disalah erti sebagai menyuburkan kemunduran, kemiskinan, kedhaifan dan juga anti-pembangunan, walhal pemerintahan PAS telah jelas membuktikan, dalam tekanan dan pembulian, PAS masih tetap membawa pembangunan. Jelaslah sudah bahawa Islamofobia yang semakin menular, menjelma juga di Malaysia dalam bentuk “PASofobia”, iaitu fobia kepada PAS yang mendukung perjuangan Islam. Sebagaimana dinyatakan oleh PBB, ia juga adalah satu bentuk perkauman (racism) yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

 

 

 

 

Comments


bottom of page