Normalisasi Arak Bukan Nilai Universal
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Jul 30, 2024
- 2 min read
Malaysia digemparkan dengan isu sumbangan dana oleh syarikat arak untuk manfaat sekolah dalam sistem sekolah kerajaan. Pada 14 Julai 2024, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah telah mencipta kontroversi apabila hadir dalam majlis penyampaian sumbangan oleh syarikat arak berlabel Tiger kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sepang. Gambar Timbalan Menteri memegang cek cura yang tertera jelas logo Tiger tersebut telah mengundang keresahan orang ramai tentang penglibatan syarikat-syarikat industri dosa seperti arak dan judi dalam mencorak sistem pendidikan di negara ini.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng telah menjawab isu tersebut dengan menempelak Menteri Pendidikan yang nampak bertegas dalam isu ini dengan menyatakan bahawa tidak perlu ada campurtangan dalam usaha syarikat arak menyumbang kepada sekolah aliran vernakular. Beliau juga menyindir Menteri Pendidikan supaya tidak tampak senada dengan PAS dengan menyatakan YB Fadhlina Sidek bukanlah “Menteri Pendidikan PAS”.
Polemik yang berlaku adalah polemik nilai. Sesetengah pihak yang redha dengan sumbangan syarikat arak, bahkan bergantung pula kepadanya cuba menggambarkan bahawa tabiat minum arak ini merupakan nilai universal yang diamalkan oleh masyarakat bukan Islam sekian lama. Lantas, amalan tersebut tidak perlu dinafikan oleh pemerintah, dan sumbangan syarikat arak harus dihargai sebagai usaha yang baik. Namun begitu, rata-rata rakyat Malaysia beragama Islam berpandangan bahawa arak sebagai satu industri dosa tidak boleh sama sekali dipromosikan atau diarus perdanakan terutama membabitkan pendidikan anak-anak dan remaja, kerana amalan minum arak bukanlah nilai universal yang harus diterima di Malaysia.
Peraturan dan undang-undang yang ketat tentang tabiat minum arak bukanlah sesuatu yang janggal atau anti-establishment. Di negara-negara Eropah, tabiat minum arak telah dihadkan atas dasar tidak mahu menggalakkan amalan itu dikalangan remaja, mencegah perilaku tidak baik lantaran mabuk alkohol, dan mewujudkan suasana yang aman dan kondusif kepada para pelancong. Spain misalnya, telah mengharamkan sebarang aktiviti meminum alkohol di tempat awam, dan mengetatkan syarat promosi dan penjualan alkohol untuk mengatasi amalan “bottelon” iaitu tabiat remaja mabuk di jalanan. Masyarakat Spain sendiri menginginkan undang-undang lebih ketat. Counsuelo Guerri daripada Principe Felipe Research Centre, pakar yang membantu menggubal undang-undang pencegahan salahguna arak pada 2013 berkata “We agreed that alcohol should not be advertised within a 100-meter radius of schools”

Kalau masyarakat di Barat juga sudah mula sedar dengan kebobrokan amalan mabuk alkohol, dan menjauhkannya daripada generasi muda, kenapa kita pula yang terkinja-kinja?



Comments