top of page

Menyebar Ideologi Dengan Teknologi dan Kreativiti

Dahulu, ahli politik bergerak dari rumah ke rumah berkempen meyakinkan pengundi tentang kemampuan mereka menjadi wakil. Kemudiannya mereka berceramah di pentas-pentas hangat bagi memujuk pengundi mempercayai manifesto dan janji mereka. Tidak cukup dengan itu, ramai juga yang menghadirkan diri ke masjid-masjid, pasar-pasar awam dan tempat-tempat orang ramai bagi menunjukkan kehadiran. Tanda ada, tanda cakna.

 

Namun dalam dasawarsa muttakhir ini suasana sudah berbeza. Penyebaran dakwah dan sesuatu ideologi politik tidak lagi tertumpu dengan “dakwah fardiyah” atau pendekatan individu ke individu. Komunikasi 2 hala juga sudah tidak memberi impak besar. Tambahan pula, gen Z dan gen Alpha muttakhir ini mempunyai corak pemikiran, dan corak tindakbalas yang begitu berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

 

Penyebaran ideologi kini berada di hujung jari. Teknologi telah merubah cara dan gaya sesuatu pemikiran dan idea disebarkan. Sama ada dalam perniagaan, gaya hidup mahupun politik. Sehinggakan lahirnya ideologi “tekno-optimism” di Amerika Syarikat iaitu satu ideologi dipelopori ahli-ahli teknologi dalam menentukan pemikiran manusia. Figura seperti Mark Zuckerberg dan Elon Musk yang menguasai platform alam maya dan media sosial menggunakan “kuasa” mereka untuk mencorak pemikiran manusia. Dan corak pemikiran baru yang dibawa sekarang ini adalah digelar DEI (Diversity, Equity, Inclusion) atau kepelbagaian, keadilan dan keterlibatan. Walaupun bunyinya indah, namun corak pemikiran sebeginilah yang menyuburkan dogma-dogma songsang seperti LGBTQ dan juga pemikiran-pemikiran bukan tradisional yang lain.

 


Seorang penulis berbangsa Yahudi, Bari Weiss sendiri mengkritik keras ideologi DEI ini dalam artikelnya “End DEI”. Beliau menyebut: “In theory, all three of these words represent noble causes. They are in fact all causes to which American Jews in particular have long been devoted, both individually and collectively. But in reality, these words are now metaphors for an ideological movement bent on recategorizing every American not as an individual, but as an avatar of an identity group, his or her behavior prejudged accordingly, setting all of us up in a kind of zero-sum game. We have been seeing for several years now the damage this ideology has done: DEI, and its cadres of enforcers, undermine the central missions of the institutions that adopt it”.


Apatah lagi kepada Islam dan cara hidup Islam. Maka ideologi terbitan DEI ini harus ditangani oleh pejuang-pejuang Islam bukan dengan cara tradisional lagi, bahkan dengan cara pemanfaatan teknologi. Dakwah-dakwah dan kempen-kempen politik tidak boleh lagi terhad kepada “rumah ke rumah” dan ceramah, namun harus diperkasa dengan “tiktok live” dan juga hantaran-hantaran di FB dan X yang mendidik masyarakat.


Disinilah tugas pejuang Islam untuk mempelajari, menguasai dan meneroka idea-idea baru bagi misi penyebaran dakwah dan fahaman politik Islam. Kita digemparkan baru-baru ini dengan idea kreatif YB Syed Saddiq dalam mengumpul dana untuk kebajikan kawasan Parlimennya. Beliau membuat larian amal sejauh 200km dengan “live tiktok” untuk menarik sumbangan, dan ternyata sumbangan yang diberikan sangat menggalakkan.


Idea kreatif sebeginilah yang boleh digunakan oleh pejuang Islam bukan sahaja bagi memerangi ideologi terbitan DEI yang semakin membimbangkan saban hari, namun bagi membuat kebajikan kepada masyarakat setempat yang tidak mahu lagi mendengar omongan kosong dari pentas-pentas ceramah semata-mata.

 

Comments


bottom of page