top of page

Media Sosial: Penyembuh Atau Pembunuh?

Statistik menunjukkan setakat Oktober 2023, 4.95 billion manusia menggunakan media sosial dalam kehidupan seharian, dengan purata setiap orang menggunakan 6.7 platform media sosial setiap bulan. Di Malaysia, 97.4% penduduk Malaysia menggunakan media sosial dengan peningkatan yang begitu mendadak saban tahun. Kajian menunjukkan 28.68 juta penduduk Malaysia ada “kehadiran media sosial” (social media appearance) setiap hari.

 

Maka tidak hairanlah, berlakunya lambakan video-video tular di pelbagai platform media sosial terkini seperti Tiktok, Instagram, X (Twitter) dan sebagainya. Dunia kewartawanan juga telah berubah mendadak apabila berita-berita di media arus perdana sudah tidak menjadi “terkini” lantaran daripada penyebaran berita secara “in real time” di media sosial oleh pengguna-pengguna.

 


Soalnya, apakah lambakan dan kebanjiran ini bakal mengubah identiti masyarakat khususnya masyarakat Islam, dari segi amalan, nilai dan pemikiran? Muhammed Tarik Islam (2019) daripada Universiti Aksaray, Turkiye dalam artikelnya “The Impact of Social Media On Muslim Society: From Islamic Perspective” menggariskan beberapa kesan media sosial kepada masyarakat Islam, yang antara lainnya ialah penyebaran kesalahfahaman tentang agama.

 

Beliau menyatakan “Social media is spreading fake rumors about Islamic leaders and misconceptions about Muslims. The non-Muslim community living in this way considers Muslims as traitors and terrorists”.

 

Disamping itu, kesan-kesan buruk yang lain menurut kajian beliau adalah seperti pengurangan hubungan kemanusian, galakan supaya manusia mendedahkan kehidupan peribadi yang sepatutnya dirahsiakan, kenyataan-kenyataan fitnah yang tidak berasas dan lahirnya sikap malas dikalangan remaja yang membantutkan prestasi kerja dan mutu ibadah mereka. Di sudut yang lebih ekstrim, ia juga telah membabitkan penyebaran kandungan-kandungan sumbang seperti video-video lucah dan ganas yang merosakkan akhlak dan pemikiran umat, dan ia juga digunakan oleh jaringan militan dan pengganas untuk menguruskan aktiviti keganasan mereka.

 

Sekiranya penggunaan media sosial ini tidak dikawal, sudah tentu ia kelak akan menjadi pembunuh utama kepada amalan dan nilai agama, yang semakin sirna saban hari.

 

Pun begitu, media sosial juga boleh dimanfaatkan untuk agama, terutamanya dakwah dan penyebaran ilmu-ilmu agama. Qayyum dan Mahmood (2015) menyatakan bahawa media sosial juga boleh digunakan untuk memperbetulkan salah tanggap terhadap Islam kepada penganut Islam itu sendiri. Oleh yang demikian, alat yang boleh membunuh itu juga sebenarnya boleh menjadi penyembuh sekiranya ia digunakan dengan akal yang dipandu iman di dada.

 

Di satu spektrum yang lain, media sosial telah menjayakan pelbagai kempen-kempen politik. Dewasa ini, potongan-potongan dan cuplikan-cuplikan video wacana dan ceramah politik tersebar bagai air hujan yang membasahi bumi. Terlalu banyak dan tidak dapat dihalang.

 

Oleh yang demikian, wajarlah pejuang-pejuang Islam sekalian memanfaatkan media sosial dengan lebih berhati-hati, dan janganlah sehingga kandungan yang kita cipta itu sendiri, menjadi fitnah dan membunuh imej Islam di mata masyarakat. Sama-sama kita jadikan media sosial penyembuh, dan bukan pembunuh.

 

 

Comments


bottom of page