MALAYSIA - WHAT’S NEXT?
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Dec 28, 2025
- 4 min read
1. Tulisan ini akan menjengkelkan banyak orang, tapi inilah hakikatnya dari kaca mata saya. Anda boleh setuju atau tidak. Demokrasi.
2. Kes 1MDB dapat disimpulkan dalam satu ayat. Seorang Perdana Menteri berniat untuk mengumpul dana bagi projek pembangunan mega dengan cara mengeluarkan sukuk, bon dan pinjaman, kemudian membeli aset penting dengannya, namun sebahagiannya diguna untuk dana politik dan kegunaan peribadi.
3. Maka, jelasnya berlaku salah guna kuasa, walaupun mungkin niat awalnya baik.
4. Kita tinggalkan komen itu untuk perbincangan lebih terperinci setelah kita sama-sama membaca penghakiman penuh nanti.
5. DS Najib adalah pemimpin pujaan UMNO. Penyokong beliau akan terus-terusan mempertahankan. Namun, hakikatnya, salah guna kuasa sudah menjadi pandemik dalam UMNO.
6. Presiden seterusnya, DS Zahid Hamidi juga dirundung salah guna kuasa dan dana Yayasan. Namun, 47 pertuduhan digugurkan setelah beliau dilantik menjadi TPM, dan setelah kes prima facie.
7. Di samping itu, ramai lagi pemimpin UMNO di peringkat tertinggi disabitkan kesalahan rasuah. Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor, disabitkan hukuman penjara 6 tahun, ketika tahun 1970-an. Begitu juga DS Khir Toyo, dan beberapa lagi yang tidak perlu disebut namanya.
8. Pendek kata, untuk menyatakan bahawa UMNO bersih daripada rasuah, adalah sesuatu yang amat sukar. Maaflah ya, wahai rakan-rakan UMNO.
9. Namun yang dihambur dengan makian tetaplah PAS. Dicelah-celah kemelut 1MDB, DS Tuan Ibrahim diberi taklimat oleh Arul Kanda tentang PELAN RASIONALISASI - bagaimana untuk memulihkan aset 1MDB. Pelan itu difahami, dan beliau berpuas hati ATAS PENERANGAN itu. Bukan merestui rasuah 1MDB!
10. DS Tuan Ibrahim ini bukanlah orang tidak berpelajaran ya. Walaupun dalam bidang agama, beliau duduk lama dalam bidang akademik. Bukan lebai kampung.
11. Namun, PASlah yang dihambur makian.
12. Kemudian, timbul pula tuduhan PAS menerima dana 90 juta. Ada yang menuduh itu daripada dana 1MDB. Tapi ia hanyalah fitnah keji dari satu kertas hitam. SPRM sendiri mengesahkan tiada dana sebegitu. Tidak perlu pusing jauh kepada kereta pemimpin PAS dan sebagainya.
13. Maka, itulah hakikatnya.
14. Kita pergi pula kepada PH. Memanglah gambarannya seolah-olah mereka pejuang terpaling reformasi. Namun adakah PH bersih?
15. Walaupun DSAI telah mendapat pengampunan kes Saiful Bukhari, namun ia tidak merangkumi kes salahguna kuasa 1998. Peguam DSAI akan berhujah bahawa ia termasuk sekali kerana perkataan “tidak melakukan apa-apa kesalahan” di dalam Pengampunan. Namun, yang jelasnya, kes 1998 langsung tidak disebut dalam Pengampunan.
16. Ya, pemimpin PH yang terlibat rasuah tidaklah seramai UMNO. Namun, hari ini kita melihat banyak sekali ketirisan.
17. Pemimpin DAP yang dikenali sebagai “bersih” dahulu juga dikatakan menerima wang dalam beg hitam untuk satu projek. Walaupun masih dibicarakan, namun “money trail” itu sudah terbongkar.
18. Dan hari ini kita digemparkan lagi dengan kes “give me pound sterling”. Terkejut kita dengan pendedahan demi pendedahan. Dan itu semua berlatarkan pandemik rasuah di kalangan pemimpin Sabah, yang menjalar hingga ke pejabat paling berkuasa.
19. Namun dicelahnya, yang dihunjam sehingga lumat tetap juga PAS. Datuk Dr Aliakhbar dikutuk hanya kerana isu Gardenia dan fitnah hapuskan arak.
20. PAS dilihat, sekejap terlalu ekstrim, sekejap terlalu apologetik demi kuasa. PAS pula dilihat sanggup gadaikan prinsip.
21. Adakah PAS bebas rasuah? Sudah tentu YA, dan hakikat ini susah dinafikan oleh sesiapa.
22. Apakah spin terbaik untuk memalitkan PAS dengan rasuah? Ada beberapa cerita, antaranya ialah tentang kononnya PAS terlibat rasuah pilihanraya di Terengganu, sehingga meminta sumpah “Wallahi, saya undi PAS”.
23. Saya selaku peguam utama kes tersebut telah berkali-kali menjawab dan beri penjelasan. Sumpah itu bukan untuk rasuah sebelum pengundi masuk mengundi, tetapi untuk bantuan perjalanan pengundi luar YANG TELAH MENGUNDI memilih PAS. Parti lain tidak buat? Tidak perlu tipu.
24. Dan mahkamah sahkan, tiada bukti rasuah untuk tuduhan tersebut. Tentang isu bantuan mahasiswa, ibu tunggal, OKU dan golongan pencen oleh Kerajaan Terengganu yang juga dikatakan rasuah, tidak perlulah saya ulas. Mahkamah Persekutuan dalam kes petisyen Marang telah menyatakan ITU BUKAN RASUAH, itu bantuan Kerajaan.
25. Cerita lain ialah tentang kononnya lebai-lebai PAS di Kelantan sakau duit, beli Mercedes dan kereta mewah yang lain, namun negeri tetap mundur. Walaupun telah dijelaskan berkali-kali, Mercedes itu tahan lasak, dan penyelenggaraan akan lebih jimat, sementelah kita pun tahu jalan-jalan di Pantai Timur itu bagaimana, namun orang masih gemar gunakan hujah ini, kerana tiada hujah lain.
25A. Pemimpin PAS mesti naik basikal dan kereta buruk sahaja?
26. Dan soalan utamanya - siapa pemimpin Kelantan yang ditangkap rasuah sebab perolehan kereta? Siapa ditangkap sebab terima rasuah tauke balak? TIADA dan TIADA.
27. Cerita seterusnya adalah tentunya MB Perlis. Kes anaknya masih di Mahkamah. Itu anaknya. MB Perlis ada dituduh apa-apa? TIADA. Maknanya adakah dia terlibat? TIDAK, kalau bersubahat tentu didakwa sekali, kan. Saya tidak mahu komen lebih lanjut krisis di Perlis, kerana saya tidak tahu. Setakat itu sahaja.
28. Lagi, cerita apa?
29. PAS ini kalau mahu terpalit rasuah dan salahguna kuasa, tentu sekali banyak kes kerana usia PAS ini hampir dengan usia UMNO. Dan PAS sekarang ini mempunyai paling ramai wakil rakyat.
30. Namun, tidak ada satu kes sabitan pun (betulkan saya kalau saya salah) membabitkan wakil rakyat PAS. Apatah lagi pimpinan utama PAS.
31. What’s next untuk Malaysia?
32. Kita sudah lihat pemimpin yang mahukan pembangunan pesat seperti DS Najib - tersungkur kerana ujian kuasa.
33. Kita sudah lihat pemimpin yang mahukan reformasi - yang dilakukan adalah sebaliknya.
34. Kita sudah lihat parti-parti mendabik dada terpaling bersih, namun beg hitam tetap diambilnya.
35. Akhirnya, setuju atau tidak, yang Malaysia perlukan adalah sebuah pasukan yang benar-benar BEBAS RASUAH dan SALAHGUNA KUASA.
36. Dan pasukan itu adalah, tentunya PAS.
37. PAS tidak pandai mentadbir? Itu bayang-bayang lama yang dicipta UMNO, PKR dan DAP untuk menutup kelemahan mereka sendiri.
38. What’s next is definitely PAS.
YUSFARIZAL YUSSOFF
Ketua Penerangan
PAS Selangor


Comments