Komik dan Laungan Kata: Cegah Sebelum Terlambat
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Aug 19, 2024
- 2 min read
Sejarah hitam negara ini yang direkodkan pada 13 Mei 1969 tidak harus dilupakan. Tragedi yang menyaksikan rusuhan kaum besar-besaran selepas daripada Pilihanraya Persekutuan yang diadakan pada 10 Mei 1969 tersebut adalah rentetan daripada ketegangan etnik yang telah membarah. Nor Azlan Sham dan Rashidah (2018) dalam artikel mereka “Tragedi 13 Mei 1969: Satu Laporan Bersumberkan Rekod Foreign And Commonwealth Office” merekodkan peristiwa berikut:-
“Apabila melalui Balai Polis Brickfields, peserta-peserta yang kebanyakannya orang-orang Cina melaung-laungkan kata-kata yang kasar dan mencaci seperti ”Apa polis boleh buat-kita Raja” dan ”buang semua Polis Melayu”. Pada lebih kurang 8.30 malam, satu lagi perarakan DAP yang melalui Jalan Bukit Bintang telah mencaci mata-mata Melayu yang bertugas di situ, dengan menunjukkan kelakuan yang kotor dan memekik kata-kata biadap dan tidak sopan. Pada 10 malam satu lagi perarakan DAP yang menghala ke Kuala Lumpur melaungkan ’Mati Melayu, Sakai pergi masuk hutan” kepada mata-mata Melayu”.
Perarakan dan laungan kata-kata sedemikian akhirnya telah mencetuskan kemarahan orang Melayu sehingga berlaku tragedi berdarah yang tidak sanggup kita ulang siar pada hari ini. Pokoknya, bagaimana kita mencegahnya daripada kembali berulang?
Profesor Datuk Dr Teo Kok Seng (2019) dalam rencana Sinar Harian bertajuk “Peristiwa 13 Mei: Pengajaran perlunya masyarakat bersatu padu”, dipetik berkata “kejadian itu turut menuntut keperluan menghormati kontrak sosial (kini Perlembagaan Persekutuan) tentang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa kaum Melayu dan kelompok asal Sabah dan Sarawak, serta kedaulatan raja Melayu”. Kontrak sosial, dan keistimewaan-keistimewaan tersebut adalah pancang utama negara ini yang tidak seharusnya dicabar atas apa juga nama, dengan apa jua cara.
Baru-baru ini, Kerajaan mengumumkan keputusan KDN menarik balik pengharaman komik Superman Hew berjudul “Inisiatif Jalur dan Jalan; Meraih Manfaat Bersama”. Alasan yang diberikan oleh Kerajaan ialah kerana terdapat keputusan Mahkamah yang mengenepikan pengharaman tersebut. Sememangnya keputusan Mahkamah tersebut perlu dihormati, namun Kerajaan seharusnya melihat lebih daripada teknikal undang-undang. Mahkamah Rayuan dengan jelas membuat keputusan berdasarkan kepada teknikal Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang mensyaratkan wujudnya bukti keadaan prejudis terhadap ketenteraman awam. Tanpa bukti tersebut, sesuatu penerbitan tidak boleh diharamkan. Namun, fakta telah menunjukkan bahawa kandungan komik tersebut boleh mencetuskan ketegangan, walaupun masih belum berlaku ketidaktenteraman awam.

Dalam Afidavit Jawapan Menteri Dalam Negeri, Menteri menyatakan komik tersebut mengandungi kenyataan seperti berikut - “kebanyakan pemuda Melayu lebih prihatin kepada isu-isu semasa negara-negara Islam seperti Indonesia atau zon rantau timur-tengah”, “18.1% daripada rakyat Malaysia merupakan penyokong atau simpati kepada Jemaah Islamiah yang dikenali sebagai kumpulan ekstremis yang aktif di Asia Tenggara”, “penduduk Melayu radikal yang prihatin tentang pelaksanaan dasar etnik di Xinjiang menyebabkan mereka mempunyai tanggapan yang negative terhadap China”. Kesemua kenyataan ini jelas merupakan stereotyping yang boleh mengundang kemarahan segelintir golongan.
Oleh yang demikian, walaupun Mahkamah telah membuat keputusan, Kerajaan harus peka dan cakna untuk mencegah penyebaran kenyataan-kenyataan sebegini sebelum ia terlambat, kerana penulisan adalah lebih tajam daripada laungan kata-kata yang telah mencetuskan tragedi berdarah dahulunya.



Comments