Kelompangan Undang-Undang: Pedang 2 Mata
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Mar 4, 2024
- 2 min read
Kelompangan undang-undang atau “legal gap” dalam undang-undang boleh berlaku lantaran daripada beberapa sebab. Ogwezzy (2014) dalam artikelnya “Appraisal of What Constitutes Legal Gaps and How They Are Filled in Different Jurisdictions” menyatakan beberapa sebab wujudnya kelompangan undang-undang seperti kesilapan penggubal, penderafan undang-undang yang tidak baik, ataupun kemustahilan penggubal untuk melihat keseluruhan situasi yang mungkin berlaku dalam sesuatu isu.
Beliau menyatakan: “ In a broad sense, a legal gap exists when it is impossible to establish beyond doubt which rule is applicable to the case in question. Under such circumstances, the law fails to make rules for a certain situation although it should have done (original legal gap) or should do so (derivative legal gap)”.
Kewujudan kelompangan undang-undang ini bukti bahawa undang-undang manusia yang digubal berasaskan akal, percambahan idea, pemerhatian dan pengalaman adalah terbatas. Ada undang-undang yang digubal untuk menyelesaikan satu masalah, namun sebaliknya menimbulkan masalah yang lain.
Tentunya sekiranya dibezakan dengan undang-undang yang diwahyukan oleh Allah, kesempurnaan undang-undang Allah tiada taranya. Sehingga undang-undang Allah adalah sesuai pada semua keadaan, zaman dan masyarakat.
Muttakhir ini kedengaran isu tentang lompat parti. Ahli Parlimen yang dipilih melalui proses demokrasi atas logo dan “naungan” parti-parti tertentu, secara sedar memilih untuk mengkhianati pilihan pengundi dengan bertukar sokongan kepada pemimpin parti lawan. Kononnya atas alasan demokrasi, dan atas alasan yang semakin muak kita dengar “demi kepentingan rakyat”.
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) telah diluluskan oleh 209 Ahli Parlimen melebihi 2/3 majoriti pada 28 Julai 2022. Dengan kelulusan ini, kita gembira melihat ahli-ahli politik tampak bersatu hati untuk mengekang dan menghapuskan amalan jelik melompat parti.
Namun, seperti banyak undang-undang ciptaan manusia yang lain, ia punya kelompangan yang besar. Undang-undang lompat parti itu rupa-rupanya hanya menjadikan kerusi parlimen yang diduduki itu terpaksa dikosongkan sekiranya seseorang ahli Parlimen keluar daripada parti asalnya dan menyertai parti lain. Kerusi Parlimen tersebut tidak akan dikosongkan hanya kerana ahli Parlimen tersebut mengubah sokongan kepada pemimpin parti lain. Tindakan keluar parti adalah syaratnya.
Maka kelompangan ini menyediakan satu vakum untuk dimanipulasi. Setiap perkara yang boleh berlaku, akan berlaku.
Kelompangan undang-undang anti lompat parti yang wujud tidaklah begitu menghairankan, malahan ia boleh dikira kejanggalan biasa. Banyak lagi undang-undang yang punya kelompangan.

Yang lebih menghairankan ialah bagaimana ahli-ahli Parlimen menyalahgunakan kelompangan tersebut untuk memanipulasi keadaan untuk tembolok nafsu politik mereka sendiri. Kalau benar semua ahli-ahli Parlimen bertekad untuk mengekang amalan tidak sihat sebegitu sedari awal, kemungkinan besar tindakan menukar sokongan atas sebab yang tidak jelas tersebut tidak akan berlaku sama sekali. Mereka diberi amanah oleh pengundi, bukan diberi hak untuk memanipulasi demi kepentingan sendiri.
Selepas ini, jangan pula disalahkan orang lain kalau amalan menukar sokongan ini terus-terusan berlaku tanpa henti. Setiap tindakan pasti ada reaksi sebaliknya, dan kelompangan yang boleh dimanipulasi tersebut boleh menjadi pedang 2 mata, boleh mencederakan orang, dan juga diri sendiri yang memegangnya.



Comments