top of page

Kejayaan Yang Dirai Sementara, Disesali Penghujungnya

Minggu ini pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023 telah mula mengetahui keputusan masing-masing. Keputusan tersebut melihat peningkatan pelajar yang memperolehi A dalam semua matapelajaran meningkat daripada 10,109 orang pada tahun 2022 kepada 11,713 orang pada tahun 2023. 35.2% daripada jumlah keseluruhan calon pula lulus semua mata pelajaran, sementara 93.5% calon layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia.

 

Angka-angka yang disebutkan tersebut menunjukkan peningkatan. Kepada yang berjaya mencapai keputusan yang dicitakan, tentunya ucapan tahniah dikalungkan dan didoakan semoga terus mengecap kejayaan di masa-masa mendatang.

 

Namun begitu, haruslah diingat bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tersebut hanyalah satu permulaan kepada satu proses yang panjang. Dalam proses yang panjang tersebut, pelbagai mehnah dan cabaran perlu dilalui sebelum seseorang mengecap kejayaan sebenar. Jika diukurkan kejayaan tersebut pada aspek duniawi semata-mata, maka sudah tentu proses seterusnya yang lebih mencabar adalah pendidikan di Universiti. Di peringkat pengajian tinggi, sekiranya pelajar leka dan hanyut dengan pelbagai perkara lain termasuk pengaruh rakan sebaya dan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah, maka besar kemungkinan peluang meneruskan pendidikan akan disia-siakan.

 

Pada tahun 2020-2021, seramai 30,000 orang pelajar universiti awam gagal menamatkan pengajian atas beberapa faktor seperti kesihatan, kegagalan akademik dan masalah peribadi. Jumlah ini ternyata membimbangkan, dan menunjukkan dengan jelas bahawa kejayaan dalam SPM semata-mata belum menentukan masa depan yang cerah seandainya usaha berterusan tidak dilakukan.

 

Pada garisan spektrum yang lebih panjang, kejayaan dalam peperiksaan di dunia belum menjamin kejayaan yang lebih abadi di akhirat sana. Di sana Islam menyeru agar kejayaan dunia itu bergerak seiring dengan akhirat. Seorang muslim mestilah mengambil dunia seadanya untuk memaknai taklif khalifah di atas bumi Allah ini, namun yang lebih utama adalah kejayaan di akhirat sana sebagai seorang yang kembali kepada Tuhannya dengan mendapat keredhaanNya.

 

Dewasa ini kita melihat ramai sekali golongan muda yang cemerlang akademiknya, fasih bahasa inggerisnya dan tinggi daya pemikirannya namun masih terjebak dengan fahaman-fahaman yang mahu bebas daripada keterikatan agama. Kecemerlangan akademik yang tidak diiringi dengan proses tarbiyah yang berterusan bakal menjadikan golongan pelajar pintar akademik, namun gagal sahsiah dan fikrah.


 

Tarbiyah agama pula tidak boleh hanya tertumpu kepada subjek Pendidikan Islam di sekolah, namun harus diperkasa dengan penerapan nilai-nilai agama dalam semua aspek kehidupan. Ibu bapa seharusnya berperanan membentuk fikrah anak-anak yang semakin terdedah dengan kekeliruan media sosial, dan juga kebejatan pemikiran yang didalangi oleh figura-figura tertentu dalam masyarakat.

 

Beberapa isu yang perlu segera diperhatikan oleh ibu bapa ialah:- bagaimana pemakaian anak-anak mereka? Apakah bahan bacaan mereka? Sudahkah mereka membaca dan mentadabbur Al-Quran? Patuhkah mereka pada kewajipan ibadah? Siapakah “role model” mereka? Apakah “world view” mereka terhadap fahaman-fahaman seperti pluralism, liberalism dan hak asasi tanpa batasan? Ia harus disemak segera supaya bilangan A yang diperolehi dalam SPM tersebut tidak hanya dirai sementara, namun disesali dipenghujungnya.

Comments


bottom of page