Kejayaan Yang Dinafikan
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Jan 28, 2024
- 2 min read
Updated: Jan 2
Dalam lipatan sejarah, perjuangan Islam tidak pernah mudah. Ia tidak pernah dilapik ambal merah, atau kehidupan serba mewah. Begitulah resminya sebagaimana dirintis oleh junjungan agung, Nabi Muhammad s.a.w, pembawa risalah.
Dalam era demokrasi moden, perjuangan Islam tidak terlepas dari mehnah. Walaupun setelah mendaki tangga an-najah, perjuangan Islam tetap mahu dijatuh dan dikalah. Ketika parti Refah Partisi, sebuah parti politik Islam di Turkiye memenangi pilihanraya umum Turkiye pada tahun 1995 dengan dasar mahu menegakkan syariah Islam, dan membentuk kerajaan gabungan pada tahun 1996, satu prosiding dimulakan di Mahkamah Perlembagaan Turkiye ke atasnya. Tuduhan yang dikemukakan adalah Refah Partisi merupakan pusat kepada aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan prinsip “sekularisme” yang dinyatakan dalam Perlembagaan Turkiye.
Pada 9 Januari 1998, Mahkamah Perlembagaan Turkiye bersetuju dengan tuduhan tersebut dan mengisytiharkan bahawa Refah Partisi perlu dibatalkan dan ahli-ahli politiknya terhalang daripada menyertai politik selama 5 tahun. Ya, Refah Partisi dibatalkan walaupun telah menang besar dalam pilihanraya! Hak demokrasi mereka dinafikan.
Refah Partisi yang kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Hak Asasi dan Hak Politik, Kesatuan Eropah untuk mendapatkan keadilan akhirnya dinafikan sekali lagi apabila Mahkamah Kesatuan Eropah memutuskan tiada perlanggaran hak asasi dilakukan dalam kes pengharaman Refah Partisi. Bayangkan, sebuah parti politik berlandaskan perjuangan Islam dinafikan kemenangannya begitu sahaja, atas nama “sekularisme”.
Ada dua pengajaran penting dalam episod Parti Refah Partisi ini. Pertamanya, walaupun perjuangan Islam dilakukan dalam kerangka moden dan demokrasi yang diagungkan barat, kemenangan perjuangan Islam tetap dicemburui dan dinafi. Dan mereka yang memusuhi perjuangan Islam akan melakukan apa sahaja dan meletakkan apa sahaja alasan untuk menafikannya. Sekiranya maki dan caci, fitnah dan keji sudah tidak berkesan, mereka akan menggunakan pula lunas undang-undang dan hak asasi.
Kedua, “sekularisme” dan isme-isme yang lain tidak akan pernah berhenti daripada memusuhi Islam. Mereka kekal percaya bahawa Islam tidak mampu memimpin, Islam menentang hak asasi dan Islam membawa kemunduran. Mereka tidak akan memahami, atau sengaja tidak memahami bahawa dengan pentadbiran Islamlah, kemajuan dikecap seiring dengan kebajikan dan hak asasi. Lihat sahaja label-label buruk yang diberikan kepada saf perjuangan Islam, seperti “taliban”, “lebai”, “tidak pandai mentadbir”, “hak wanita diketepikan” dan sebagainya. Seolah-olah prinsip-prinsip Islam itu menggalakkan pencabulan hak dan kemunduran.
Walhal, Islam yang memimpin itulah yang membawa kecemerlangan dunia dan akhirat, mengutamakan kebajikan dan hak setiap warga yang bernaung dibawahnya. Lihat sahaja ketika mana tentera Tariq Ibn Ziyad menyeberangi laut Gibraltar untuk menewaskan tentera Kristian Visigoth dan mengembangkan kerajaan Islam ke benua Eropah, bagaimana Kerajaan Islam Andalusia yang tertubuh selepas itu memberikan hak dan kebebasan kepada masyarakat Yahudi dan Kristian untuk hidup aman damai, jauh lebih baik daripada pemerintahan sebelumnya.

Ahmad Thompson & Muhammad ‘Ata’ur Rahim (2004) dalam buku mereka Islam in Andalus menyatakan “…after five centuries of Muslim rules during which the Jewish community had been allowed to follow their practices practically unhampered - often with Jews being given high-ranking post in the administration of the country, and especially after Abdul Rahman 1 had become the Amir of Andalus in 756 - their number had increased considerably”. Amat jelas bahawa ketika Islam memimpin, kemajuan dikecapi dan seluruh alam terasa manfaatnya.
Kisah Refah Partisi ini harus sentiasa dijadikan pedoman untuk kita. Persiapan bukan sahaja perlu dibuat untuk menguatkan perjuangan, tetapi persiapan juga perlu dibuat supaya Islam menguasai segala sistem demokrasi yang ada, supaya tatkala kita berjaya mendaki an-najah nanti, tiada lagi faktor yang dapat menafikannya.



Comments