top of page

“Keadilan Perusuh” Tanda Krisis Kepercayaan?

Pada 20 Februari yang lalu, negara digemparkan dengan tragedi seorang lelaki diikat dan dipukul sampai mati oleh sekumpulan orang awam, selepas lelaki tersebut terlibat dalam satu kemalangan sekitar Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor. Menurut laporan media massa, lelaki tersebut yang melarikan diri setelah terlanggar seorang penghantar makanan, dikejar oleh sekumpulan orang awam sebelum terlanggar pagar kawasan perumahan. Lelaki tersebut kemudiannya ditarik keluar daripada keretanya, diikat, dan dipukul sehingga ditemukan mati ditempat kejadian.

 

Kejadian belasah dan pukul oleh orang awam membabitkan suspek kesalahan lalulintas atau kesalahan-kesalahan lain seperti mencuri, gangguan seksual dan sebagainya, bukanlah kali pertama berlaku, bahkan telah banyak kali berlaku. Walaupun telah ramai pelaku menerima padah undang-undang, masih terdapat orang awam yang tidak peka dan sedar akibatnya.

 

“Keadilan perusuh” (mob justice) ini bukanlah sesuatu yang asing di mana-mana negara. Namun, keadilan perusuh ini sangat meruncing di negara-negara Afrika seperti Afrika Selatan, Ghana, Tanzania, Uganda dan Cameroon. Pada sekitar 2019 -2020, portal The African melaporkan bahawa 1,202 daripada 21,325 kes bunuh di Afrika Selatan adalah membabitkan “keadilan perusuh”.

 


Banyak kajian telah dilakukan untuk mengenalpasti punca dan sebab “keadilan perusuh” ini. Emmanuel & Thomas (2014) dalam kajian mereka bertajuk “A Critical Assessment of Public Administration and Civil Disobedience in Developing African Democracies: An Institutional Analysis of Mob Justice in Ghana” menyatakan bahawa antara punca yang dikenalpasti menyebabkan “keadilan perusuh” adalah krisis keyakinan terhadap penguatkuasa (polis) dan sistem kehakiman. Disamping itu, mereka juga menyatakan bahawa “…The study also underscored that lack of support in the investigation and prosecution of criminal cases, delay in the prosecution of accused persons, lack of publicity of court convictions of criminals, acquittals of popular criminals, ignorance of the legal implication of mob violence, weak legislation on mob violence also contribute to incidence of mob justice”.


Walaupun situasi yang berlaku di negara-negara Afrika seperti Afrika Selatan dan Ghana tentunya berbeza dengan Malaysia, lantaran daripada perbezaan ketara dari aspek politik, ekonomi, sosial dan kedaulatan undang-undang, ada sesuatu yang kita boleh pelajari sebelum keadaan kita semakin meruncing.


Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu untuk terus mengekalkan kepercayaan orang awam terhadap penguatkuasaan, penyiasatan dan sistem keadilan sebelum ianya terlambat. Masyarakat juga perlu mendidik generasi muda supaya menjadi lebih empati, berperikemanusiaan dan berakhlak, supaya akan lahir masyarakat yang bukan sahaja cakna dan peduli, namun berpegang utuh kepada kedaulatan undang-undang dan tidak menggenggam undang-undang di tangan sendiri.

 

Comments


bottom of page