Judi: Mafsadah Yang Tidak Perlu Dipertahankan
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Jul 23, 2024
- 2 min read
Allah swt berfirman dalam Ayat 90, Surah Al-Maidah bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. Melalui ayat ini, Islam melarang tegas kegiatan-kegiatan perjudian dan meminum arak, demi menjaga maqasid syariah.
Bayyan Linnas dalam menjelaskan bahaya judi memetik kata-kata Ibn Taimiyyah bahawa terdapat 2 mafsadah kepada judi iaitu mafsadah memakan harta secara haram, dan mafsadah perkara lalai yang haram. Ia adalah lebih teruk daripada memakan riba’. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/337). Forbes Health pula melaporkan bahawa lebih 2 juta orang dewasa di Amerika Syarikat mengalami ketagihan judi atau gangguan judi yang memberi kesan kepada hubungan individu, kewangan dan kerjaya profesional. Oleh yang demikian, judi adalah amalan yang perlu dihapuskan sama sekali kerana tidak membawa apa-apa kebaikan.

Pada 1 Januari 2023, semua premis perjudian dan loteri di negeri Kedah tidak lagi dibenarkan beroperasi oleh Kerajaan Negeri Kedah. Pada 8 Mac 2024 pula, premis judi terakhir di negeri Perlis telah ditutup, dan Perlis telah bebas sepenuhnya daripada operasi perjudian. Negeri Kelantan dan Terengganu telah lama mengharamkan lesen judi sebelum daripada ini. Usaha ini adalah natijah daripada iltizam kerajaan pimpinan PAS untuk memaknai larangan keras Allah di dalam Al-Quran dan mengelak mafsadah-mafsadah yang dinukilkan ulama’.
Dalam masa yang sama, usaha penguatkuasaan undang-undang juga terus berjalan. Enakmen-enakmen jenayah syariah negeri-negeri menjadikan kesalahan judi dan menganjurkan judi sebagai satu kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum oleh Mahkamah Syariah. Maka, usaha yang bersepadu untuk menutup premis judi dan menghukum pelaku judi adalah penting untuk menghapuskan barah judi ini secara total.
Pada Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina lwn Kerajaan Negeri Kelantan telah membatalkan Seksyen 37(1)(b) iaitu peruntukkan tentang kesalahan penganjuran judi dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan. Alasannya adalah kerana penganjuran judi termasuk dalam kuasa gubalan persekutuan dibawah butiran “betting”.
Pada 20 Jun 2023 pula, Mahkamah Tinggi Alor Setar telah memutuskan bahawa keputusan Kerajaan Kedah mengharamkan lesen premis judi adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Alasannya ialah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kedua-dua keputusan Mahkamah ini boleh difahami sebagai indikasi tentang kelemahan struktur undang-undang di negara ini berkenaan dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Walaupun usaha-usaha kerajaan PAS adalah hanya untuk mengharamkan perkara yang berada di bawah kuasa mereka, namun ia tetap terus-terusan dicabar, dengan menggunakan lompong-lompong undang-undang yang ada. Oleh yang demikian, usaha memperkasa dan memperkemas undang-undang sedia ada perlu dilakukan segera, sekiranya PAS memegang tampuk pemerintahan negara sedikit masa lagi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa judi adalah mafsadah yang tidak perlu sama sekali dipertahankan, dengan apa jua alasan.



Comments