top of page

Jiwa Merdeka: Pertahankan Perlembagaan, Tegakkan Syiar



Setelah 67 tahun Perlembagaan Persekutuan digubal, kita masih bergelut dengan takrifan sebenar:-

 

1. Apakah Mahkamah Syariah itu setaraf atau lebih rendah daripada Mahkamah Sivil? Apakah bidangkuasa sebenarnya dalam kes-kes silang bidangkuasa seperti murtad atau pengIslaman?

 

2. Apakah kuasa Negeri untuk menggubal kesalahan jenayah syariah itu terbatas dek kuasa Persekutuan untuk menggubal undang-undang jenayah? Apakah undang-undang syariah (yang wajib ke atas umat Islam) mempunyai masa depan?

 

3. Apakah negara ini negara Islam (dek kerana Islam menjadi agama Persekutuan) ataupun negara sekular (dek kerana Islam terbatas atas ritual dan amalan sahaja, bukan cara hidup, perundangan dan sistem)?

 

4. Apakah perjanjian-perjanjian pra-kemerdekaan itu masih berdiri, termasuk pembayaran “ufti”? Apakah sejarah boleh disingkap atau sudah sedia lengkap?

 

5. Apakah “federalisme” itu mengatasi “state-empowerment” atau harus diseimbangkan?

 

6. Apakah Perlembagaan Persekutuan boleh dipertahan dengan menerima pakai doktrin, konvensyen, amalan, kelaziman yang dikatakan menjadi standard antarabangsa atau dipertahan dengan jurisprudens tradisional atau watan?

 

7. Apakah sekolah vernakular perlu dipertahan, atau sistem aliran kebangsaan perlu diperkasakan?

 

Dan banyak lagi isu-isu yang seolah-olah ingin mencarik-carik fabrik sosial dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana difahami oleh pengasas-pengasas negara ini ditimbulkan. Kompromi kaum-kaum dan kuasa yang berlaku pada tahun 1957, mungkin belum dilupakan. Namun, praktiknya semakin menghadapi cabaran.

 

Islam merupakan pancang asas negara ini. Ia termaktub jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Ia termaktub jelas dalam kuasa yang diberikan kepada Institusi Raja-Raja sebagai payung negara dan penjaga Agama Islam. Ia termaktub jelas dalam kuasa-kuasa yang diberikan kepada Institusi Kehakiman Syariah. Ia termaktub jelas dalam peruntukan-peruntukan undang-undang tentang agama Islam. Ia juga termaktub jelas dalam amalan majoriti rakyat Malaysia, yang berpegang utuh kepada aqidah yang jelas.

 

Sempena Merdeka ini, ayuh kita pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan perjuangasn menegakkan syiar Islam. Negara ini punya acuan. Acuannya sudah tentu bukan yang ditempa di luar perbatasan. Ia tersemat di dada setiap watan. Yang mahukan Negara ini kekal makmur mengisi kemerdekaan.

 

Salam Hari Kemerdekaan.

Comments


bottom of page