Islam Adalah Penyelesaian Dalam Pendidikan

Dalam keghairahan manusia menempa kemajuan dan kemadanian, proses pendidikan generasi baru sering dipandang sepi dan tidak dititikberatkan. Silibus pendidikan anak-anak hanya menjurus kepada “pemikiran binari” yang pada kebanyakan masa hanya mementingkan bilangan A dalam slip keputusan peperiksaan. Pendidikan sebenar yang disebut oleh Al-Attas sebagai “ta’dib” tersebut semakin sering kita lupakan.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan menyatakan fakta yang menggusarkan kita iaitu statistik bahawa 27% pelajar tahun 1 tidak boleh membaca. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan telah melancarkan Program Anak Kita sebagai intervensi yang membabitkan kelas pemulihan literasi dan numerasi, dan pemanfaatan teknologi digital. Persoalannya, apakah sebab keciciran ini berlaku? Dan apakah penyelesaian yang ditunjukkan oleh Islam yang boleh diaplikasikan dalam hal ini? Penulis mengajak pembaca membuat analisis 4 peringkat sebagaimana yang ditulis sebelum ini untuk kita sama-sama menganalisis cara penyelesaian terbaik berdasarkan Islam.
Pada peringkat pertama, kita telah mengenalpasti masalahnya. Maka, objektif akhir yang perlu kita capai adalah untuk mewujudkan generasi muda yang 100% boleh membaca dan sifar keciciran. Pada peringkat kedua, kita perlu melihat apakah ada nas-nas yang menggariskan prinsip-prinsip umum tentang pendidikan dalam Islam. Sudah tentu Islam sangat mementingkan pendidikan sehinggakan ayat pertama yang diturunkan Allah swt kepada Baginda Rasulullah saw adalah tentang membaca yang merupakan kunci kepada pendidikan. Allah swt berfirman dalam Surah Al-Alaq Ayat 1-5:- “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.
Maka prinsip umum seperti galakan membaca, dan proses pembacaan yang berkait rapat dengan hubungan dengan Allah yang dinukilkan dalam ayat “Bacalah DENGAN NAMA TUHANMU” itu perlu dijadikan landasan dan asas.
Pada peringkat ketiga pula, kita perlu menyingkap lipatan sejarah Islam untuk melihat apakah kaedah-kaedah yang pernah digunakan. Zakaria et al. (2012) dalam artikel mereka “Pendidikan Menurut Al-Quran Dan Sunnah Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah” menyatakan bahawa “Masjid telah dijadikan sebagai pusat pembentukan muslim yang bertaqwa atau dalam erti kata lain masjid dianggap sebagai pusat pendidikan Islam yang terkemuka. Baginda juga telah memilih beberapa orang daripada kalangan orang-orang mukmin yang direkrut khas untuk menjalankan tugas-tugas pendidikan”.
Pada peringkat terakhir iaitu mencari solusi Islam secara kreatif, penulis ingin mencadangkan agar institusi masjid digunakan untuk pendidikan pemulihan kepada pelajar-pelajar yang keciciran. Sifat malas dan tidak berdisiplin yang menyebabkan keciciran dan ketertinggalan dalam pendidikan itu perlu dirawat dengan ruh Islam seperti bacaan Al-Quran dan ibadah-ibadah sunat terlebih dahulu, untuk memugar kembali motivasi dan semangat mereka untuk belajar. Hanya dengan matlamat dan fikrah yang jelas, seseorang pelajar itu akan memahami suruhan “Bacalah dengan nama Tuhanmu” itu. Sekiranya proses menjadikan masjid sebagai sekolah itu sukar, maka mungkin juga sekolah boleh dimasjidkan, dengan menjadikan sekolah-sekolah sarat dengan aktiviti ibadah dan kerohanian bagi mewujudkan generasi baru yang terdidik mengikut cara penyelesaian Islam.




Comments