Industri Halal: Antara Fakta Dan Persepsi Bukan Islam
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Sep 9, 2024
- 2 min read
Updated: Jan 2
Industri Halal di Malaysia adalah satu industri yang sedang pesat membangun. MITI mengunjurkan industri halal Malaysia akan berkembang kepada RM500.4 billion pada tahun 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030. Pada tahun 2022 sahaja, nilai eksport produk halal telah mencecah RM59.46 billion, iaitu peningkatan 63.8 peratus dari tahun sebelumnya.
Proses pensijilan halal juga telah dipermudahkan oleh JAKIM, dengan permohonan awal yang boleh dibuat atas talian, dan kos keseluruhan pensijilan yang rendah. Ini jelas bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak peniaga-peniaga mendapatkan pensijilan halal untuk produk mereka. Pensijilan halal Malaysia juga telah dianggap sebagai antara pensijilan terbaik di dunia membabitkan pensijilan yang ketat dan komprehensif. Pendek kata, sekiranya sesuatu produk mempunyai logo halal yang sah, maka produk yang ditawarkan bukan sahaja halal menurut Islam, malah bersih dan bermutu tinggi.
Di Malaysia, orang bukan Islam juga sudah menerima dan memahami dengan jelas tentang kepentingan dan kebaikan produk halal. Yazid & Shahril Nizam (2015) dalam kajian mereka berjudul “Indeks Keprihatinan Pengguna Bukan Muslim Terhadap Produk Makanan Halal di Malaysia” menyimpulkan bahawa “Purata bagi aspek yang membentuk indeks ini menunjukkan keputusan yang sangat baik (78.70) di mana ia disumbangkan oleh aspek pengetahuan dengan skor 82.09, aspek sikap 77.24 dan aspek kesihatan 76.77. Secara umumnya pengguna bukan muslim di Malaysia mempunyai pengetahuan yang sangat baik mengenai persoalan halal dan haram berkaitan produk makanan”.
Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa 81.25% responden bukan Islam bersetuju bahawa logo halal adalah merupakan satu strategi pemasaran yang baik untuk menarik pengguna dalam pembelian produk makanan. Apa yang ditunjukkan oleh kajian ini adalah terlalu jelas bahawa industri halal telah diterima dengan baik oleh masyarakat, sama ada orang Islam atau bukan Islam, dan juga di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan kepada latar di atas, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin DAP, Theresa Kok yang mempertikaikan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal dilihat, bukan sahaja satu kenyataan yang tidak sensitif kepada kehendak umat Islam dalam negara ini, bahkan kenyataan yang tidak mengambil kira kajian dan fakta tentang perkembangan industri halal di Malaysia yang sedang pesat membangun. Persoalannya adakah pemimpin DAP ini hanya seronok bangkit bersuara tentang apa sahaja persoalan dan cadangan membabitkan agama Islam supaya nampak memperjuangkan masyarakat bukan Islam, ataupun beliau sengaja seronok mencetuskan polemik bagi menunjukkan dominasi DAP di Malaysia? Jawapannya hanya ada pada Theresa Kok, yang kini sedang disiasat oleh Polis atas kenyataan beliau.



Comments