top of page

Berpencak dengan otak

Pembantaian umat Islam di wilayah terjajah Palestin semakin memuncak. Setakat tulisan ini, seramai 27,131 orang warga Palestin telah terkorban, dan 1.7 juta orang telah menjadi pelarian. Pada 3 Februari yang lalu, Jens Laerke, jurucakap OCHA menyatakan bahawa “Rafah, adalah umpama periuk tekanan kehampaan” (pressure cooker of despair).  Dalam masa yang sama, bantuan kewangan kepada UNRWA (United Nation Reliefs and Work Agency for Palestine refugees in the near east) telah dihentikan dan ini akan menyebabkan terhenti sepenuhnya operasi UNRWA untuk membantu mangsa-mangsa pelarian Palestin di Rafah.

 

Bagi negara yang tidak terkesan, reaksi yang diberi adalah pelbagai. Sekurang-kurangnya terdapat 3 golongan negara-negara yang berpandangan berbeza. Golongan negara yang pertama adalah penyokong tegar Israel, ataupun “kawan kepada kawan” kepada Israel. Mereka ini akan terus-terusan membela Israel atas apa juga alasan seperti hak mempertahankan diri.

 

Golongan kedua adalah yang sentiasa bangkit mempertahankan Palestin. Afrika Selatan sebagai sebuah negara yang mengharungi pengalaman “apartheid” yang begitu lama boleh dikatakan sebagai penerajunya. Afrika Selatan telah memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas Israel dibawah peruntukan Artikel IX Konvensyen Genosid 1948, dan memohon “tindakan sementara” untuk menghentikan pembantaian.

 

ICJ pada 26 Januari 2024 telah mengenakan beberapa “tindakan sementara” ke atas Israel seperti genjatan senjata serta merta. ICJ juga mengakui bahawa terdapat bukti bahawa genosid mungkin sedang dilakukan oleh Israel.

 

Peranan mahkamah antarabangsa perlu difahami dengan jelas. Di bawah PBB, terdapat 2 Mahkamah yang telah ditubuhkan iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Secara mudahnya, ICJ merupakan Mahkamah yang mendengar kes oleh negara ahli ke atas negara ahli yang lain berkaitan pelanggaran mana-mana undang-undang antarabangsa. ICC pula adalah Mahkamah jenayah yang akan mendakwa penjenayah genosid antarabangsa, berdasarkan rujukan yang dibuat oleh negara ahli. Kes yang difailkan oleh Afrika Selatan baru-baru ini adalah di ICJ. 

 

Pada 3 Mac 2021, Pendakwaraya ICC ketika itu, Fatou Bensouda telah mengisytiharkan menerima rujukan daripada Palestin, dan akan memulakan siasatan ke atas pelaku genosid Israel. Ia merupakan satu tarikh yang begitu ikonik untuk dunia walaupun masa depan siasatan jenayah genosid tersebut masih kabur.

 

Pemahaman yang jelas tentang peranan ICJ dan ICC ini adalah penting. Walaupun jiwa kita bergelodak melihat video-video pembantaian anak-anak kecil di Palestin, kita mesti matang dalam mengemudi isu. Cadangan agar Malaysia terus menghantar ketumbukan tentera bagi memerangi Israel semata-mata mungkin boleh disifatkan tidak praktikal dan tidak berpijak di bumi nyata, dalam keadaan kekuatan ketenteraan Israel adalah kedua terbesar di dunia selepas AS.

 

Kita harus masuk gelanggang dengan otak, bukan melalak dan berpencak tanpa rentak.

 

Pada 22 Februari 2024 nanti, Malaysia akan turut serta bersama 50 negara lain untuk membuat penghujahan di ICJ dalam satu lagi kes berkaitan Palestin iaitu prosiding “Advisory Opinions”. Usaha ini sangat baik untuk meneruskan kesinambungan usaha negara-negara lain seperti Afrika Selatan yang telah jauh mendahului.


 

Namun begitu, Malaysia sebagai sebuah negara yang telah lama mempunyai hubungan erat dengan Palestin harus bertindak lebih agresif dan berstruktur di peringkat ICJ dan ICC. Kajian undang-undang antarabangsa dan solusi-solusi baru perlu difikirkan segera untuk mengheret Israel ke muka pengadilan.

 

Golongan ketiga adalah negara-negara yang hanya tunggu dan lihat, sebagaimana sebahagian negara-negara Islam sendiri. Ada yang memekakkan telinga dan menutup deria daripada cuba berbuat apa-apa. Di sinilah peranan Malaysia, untuk turut sama melobi negara-negara Islam lain dan OIC untuk menyepadukan usaha melalui lunas undang-undang antarabangsa. Janganlah kita menjadi seperti ramalan pujangga bahawa “tragedi umat ini bukanlah kerana ramainya orang jahat, tetapi adalah kerana diamnya orang baik”.

 

 

Comments


bottom of page