Atlet Wanita Berhijab: Antara Keterbukaan Dan Islamofobia
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Aug 26, 2024
- 2 min read
Pada tahun 2004, Roqaya Al-Gassra, seorang pelari pecut dari Bahrain telah melakar sejarah menjadi wanita muslim pertama berlari dalam kejohanan Olimpik dengan berhijab. Beliau kemudiannya meraih pingat emas pada tahun 2006 dalam Sukan Asia di Doha. Selepas daripada itu, lebih ramai lagi atlet wanita muslim menyertai kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa tanpa menanggalkan hijab mereka, dan terus berpakaian menutup aurat.
Pada tahun 2017, Federation International Basketball Association (FIBA) telah menghapuskan larangan berhijab kepada pemain-pemain bola keranjang wanita dalam kejohanan antarabangsa. Ia adalah hasil desakan demi desakan yang dimulakan oleh Bilqis Abdul Qadir, seorang pemain bola keranjang di Amerika Syarikat, dengan kempen #FIBAAllowhijab. Selepas daripada itu, negara-negara barat juga telah sedikit demi sedikit menerima bahawa wanita Muslim mempunyai hak untuk mengenakan pakaian agama mereka dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.
Muttakhir ini, kita juga berbangga dengan kejayaan demi kejayaan atlet pecut negara Azreen Nabila Alias bersama quartet 4X100 negara yang menakluk balapan dengan bertudung dan menutup aurat. Di Malaysia dan banyak negara-negara Islam, penglibatan wanita muslim yang kekal menutup aurat dalam acara-acara sukan sudah tidak asing lagi hari ini. Yang lebih penting, berhijab bukanlah satu penghalang kepada penyertaan wanita dan kejayaan dalam sukan.

Aurat adalah suatu suruhan agama yang jelas. Wanita Muslim diperintahkan Allah untuk menutup aurat sebagai satu penghormatan, dan bagi melindungi maruah dan kehormatan mereka. Walaupun pemakaian hijab dalam sukan ini mengundang kontroversi dikalangan masyarakat barat, ia tetap menjadi trend yang semakin berkembang. Gertrud Pfister, seorang ahli sosiologi terkemuka yang menjalankan kajian tentang atlet wanita Muslim di Denmark menyatakan “Headscarves provoke opposition among the mainstream population more than any other Islamic precept or interdiction”. Namun beliau juga menyatakan bahawa “Doing Islam has become a widespread habit, in some cases almost a fashion”.
Hakikatnya, hari ini, berpendirian untuk menutup aurat bukanlah lagi suatu perkara kuno, bersifat ekstrem atau terkebelakang. Bahkan ia sudah diterima oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa, dan menjadi ikutan.
Di Malaysia, pada tahun 2015, JAKIM sendiri telah mengeluarkan Garis Panduan Bersukan Menurut Perspektif Islam yang mensyaratkan atlet wanita untuk memakai pakaian berlengan panjang, berseluar panjang dan menutup rambut serta leher. Walaupun penguatkuasaan garis panduan ini ternyata masih lemah, sebarang usaha untuk menguatkuasakannya tidak harus dipandang sinis oleh sesiapa. Sekiranya masih ada orang bukan Islam mahupun Islam di Malaysia yang mencemuh, dan cuba menggambarkan ia sebagai satu tindakan ekstrem dan terkebelakang, maka jelaslah bahawa mereka sedang dirasuk oleh hantu Islamofobia, dan lebih tertutup daripada masyarakat Barat.



Comments