Antara Toleransi & Apologetik
- Dr. Yusfarizal Yussoff

- Mar 18, 2024
- 2 min read
Penghinaan terhadap kalimah suci Allah bukan kali pertama berlaku. Kalimah Allah pernah dicetak pada pakaian mencolok mata, kasut, pelekat berbentuk tapak kaki hatta di botol vodka sekalipun. Seorang Muslim yang cerdas akalnya, dan kukuh imannya tidak akan dapat duduk senang saat kalimah sesuci ini dipermain-mainkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, tanpa niat lain yang jelas selain untuk menghina kesucian Islam.

Namun di Malaysia, ramai umat Islam yang masih keliru tentang sikap yang perlu diambil terhadap insiden serupa ini. Masih ramai yang memilih untuk hanya berdiam diri memerhatikan apa yang berlaku dari pojok sepi rumah dan pejabat masing-masing. Tidak kurang juga yang tergolong dalam golongan yang sentiasa “berlapang dada” atas apa sahaja isu hatta isu sensitif. Ada pula yang terlebih ekstrem, membalas penghinaan dengan penghinaan pula kepada sembahan-sembahan agama lain.
Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, sudah tentu sikap bertoleransi di kalangan warga perlu ada untuk menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat. Untuk umat Islam, sikap toleransi tersebut bukanlah satu masalah besar kerana Islam sentiasa mengajar “peaceful co-existence” dengan warga bukan Islam. Bahkan, sejarah telah menunjukkan bagaimana baiknya sikap umat Islam terhadap warga bukan Islam dibawah sesuatu pemerintahan khilafah Islamiyyah yang mana hak mereka tidak pernah dinafikan, dan sentiasa dilindungi.
Kendatipun begitu, sikap toleransi tersebut tidak seharusnya menjadikan umat Islam bersikap terlalu apologetik dalam mempertahankan perkara asas agama. Sikap yang tegas perlu ditunjukkan sekiranya wujud ancaman-ancaman terhadap pancang aqidah seperti ajaran sesat, pengaruh Syiah, dan juga penyebaran doktrin-doktrin asing yang lain kepada umat Islam. Sikap yang tidak mudah-mudah berlembut juga perlu dinyatakan apabila agama Islam termasuk ajaran-ajaran sucinya seperti kalimah-kalimah suci, Al-Quran, As-Sunnah dan sebagainya dihina dan dipermainkan-mainkan.
Umat Islam tidak boleh membiarkan penghinaan sebegitu selesai dengan hanya membuat permohonan maaf yang tidak jelas kejujurannya. Umat Islam perlu bingkas bangun untuk menggesa pihak berwajib menyegerakan tindakan undang-undang terhadap penghina-penghina ini sebagaimana tangkasnya sesetengah kita membuat laporan apabila beberapa pemimpin yang kita tidak sukai tersalah kata.
Ketegasan dan tindakan segera kita itu tidaklah pula menunjukkan bahawa kita tidak bertoleransi. Tuduhan sebegitu adalah tidak benar sama sekali, kerana toleransi dalam mengamalkan agama, cara hidup dan budaya, adalah jauh berbeza dengan ketegasan kita untuk mempertahankan kesucian agama. Singkap sahaja sejarah untuk melihat bagaimana dalam kelembutan baginda Rasulullah saw berdakwah, ada ketika baginda bertegas terhadap musuh Islam. Sehinggakan pada satu ketika, baginda membenarkan Muhammad bin Maslamah, ‘Abbad bin Bisyr dan Abu Nailah untuk mengepalai pasukan khas bagi mengambil tindakan terhadap Ka‘ab bin Asyraf, seorang pemimpin yahudi yang sentiasa memusuhi Islam dan sering menyampaikan syair-syair yang menyinggung perasaan umat Islam. Menurut Kitab al-Rahiq al-Makhtum, Ka’ab akhirnya mati dibunuh oleh pasukan khas tersebut.
Sudah tentu di negara kita ini, kita mempunyai lunas undang-undang yang tertentu untuk menangani kes penghinaan kalimah Allah tersebut. Memandangkan banyak pihak sekarang ini telah menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan adalah juga bersifat takzir yang secocok dengan prinsip-prinsip agama Islam itu sendiri, maka diharapkan agar kes-kes penghinaan terhadap Kalimah Allah ini juga disegerakan tindakannya dibawah undang-undang takzir Persekutuan, kerana penghina tersebut bukanlah orang Islam yang tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Pada akhir analisis, umat Islam perlulah bijak membezakan antara sikap toleransi dengan bukan Islam yang dituntut oleh agama, dengan ketegasan (dan tidak apologetik) yang juga penting dalam mempertahankan kesucian agama Islam yang semakin sering dicarik-carik oleh cakar Islamophobia.



Comments